Jawatan TPM amanah berat ketika negara hadapi cabaran getir

14

7 JULAI: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyifatkan tugas dan tanggungjawab barunya sebagai Timbalan Perdana Menteri amat berat di saat rakyat sedang menghadapi cabaran getir dalam sejarah negara.

Justeru, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau akan menjadikan amanah berkenaan sebagai satu tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan berkhidmat demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

“Tanggungjawab yang saya terima ini amatlah besar di kala rakyat sedang menghadapi cabaran paling getir dalam sejarah negara.

“Amanah ini akan saya jadikan tanggungjawab untuk teruskan perjuangan berkhidmat demi keselamatan dan kesejahteraan kita bersama,” katanya dalam satu kenyataannya menerusi laman Facebooknya di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sebenarnya semua dari segenap lapisan masyarakat ada peranan penting dalam mengawal penularan pandemik ini.

“Harapan saya adalah agar kita dapat bekerjasama dan bersepakat menjalankan semua usaha yang telah dirancang di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Selainnya, hanya kepada Allah kita mampu berserah,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM dan pada masa sama kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Menurut kenyataan itu Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Ismail Sabri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.