Saya akan laksana tugas sebaik mungkin-Hishammuddin

22

7 JULAI: Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melantiknya sebagai Menteri Kanan Keselamatan merangkap Menteri Luar.

Ahli Parlimen Semberong dan Bendahari Barisan Nasional (BN) berkenaan berharap pelantikan itu membolehkan beliau mengetuai Kluster Keselamatan dan membantu Perdana Menteri melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya juga sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik #COVID19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. InsyaAllah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya.

“Saya juga percaya, hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak, kita mampu keluar daripada krisis ini bersama-sama.

“Percayalah, apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian saya tetap sama – hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati. Saya berdoa, semoga Allah SWT meredhai ketentuan ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pada masa sama kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata pelantikan ini akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Menurut kenyataan itu Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Ismail Sabri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.