Belanjawan Kreatif Demi Kebajikan Negara, Rakyat

49

7 JULAI: Pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak wabak pandemik melanda negara tahun lalu merupakan satu usaha kreatif bagi merendahkan peruntukan Belanjawan sekali gus mengurangkan beban kerajaan dan rakyat.

Pakar Ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Datuk Dr Barjoyai Bardai telah menjangkakan sebahagian besar pakej akan dilaksanakan dalam bentuk bukan pemberian tunai terus kerana praktik ini bukan satu budaya kerajaan di Malaysia sejak berdekad lalu. 

Menurut beliau, ini berkemungkinan disebabkan kerajaan sebenarnya dilihat mengamalkan model ekonomi berasaskan Anglo-Sexan (ASM) yang menekankan pasaran bebas dan kerajaan yang tidak campur tangan dalam urusan ekonomi.

“Tidak hairanlah bila melihat pengumuman pakej rangsangan menggabungkan pakej bukan tunai dilaksanakan melalui pihak yang mudah dipengaruhi oleh kerajaan dan bantuan tunai terus pula dilaksanakan secara sederhana dan terhad. 

BARJOYAI

“Ini membolehkan kerajaan menggunakan pengaruhnya untuk mencapai banyak matlamat pembangunan ekonomi pada masa lalu. Jadi, jumlah RM540 bilion yang dijana dalam pakej-pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang diumumkan sejak awal 2020 sebenarnya telah banyak memanfaatkan golongan isi rumah dan peniaga.

“Bantuan tetap diberikan kerajaan walaupun ia mungkin tidak melibatkan keperluan Belanjawan tambahan kerajaan. Ini adalah faedah daripada inovasi dalam Belanjawan Kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Barjoyai memberitahu kerajaan PN juga telah membuat pembayaran bantuan sara hidup, subsidi gaji, subsidi peniaga mikro dan lain-lain secara tunai untuk satu jumlah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Beliau berkata, ini dibuktikan sebanyak RM87.6 bilion disalurkan terus kepada rakyat melalui beberapa skim khusus yang menunjukkan kerajaan telah mengatur serta merancang usaha membantu meringankan beban dan kesan kegawatan rakyat secara berterusan melalui sembilan pengumuman pakej.

“Bantuan tunai terus merupakan sesuatu yang baharu dan kerajaan agak teragak-agak untuk mengumumkannya. Ini kerana kerajaan masih dipengaruhi oleh semangat model Anglo-Sexan dan takut dilihat sebagai terlalu boros berbelanja atau dilihat berbelanja di luar kemampuan. Kerajaan berpegang kepada panduan kadar pinjaman tidak melebihi 55 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Namun kerajaan kemudiannya melihat bagaimana negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) yang walaupun mengamalkan model Anglo-Sexan, juga meluluskan bantuan pampasan gaji sehingga AS$3 trilion. Ini menjadikannya lebih yakin dan lebih berani untuk meningkatkan had,” katanya. 

Sementara itu, Barjoyai memaklumkan bantuan-bantuan yang dilaksana kepada kumpulan khusus yang menerima, pastinya amat menghargai bantuan dan sumbangan sebegini kerana selepas mengalami lebih enam kali kegawatan ekonomi sejak kemerdekaan, inilah pertama kalinya isi rumah dan rakyat marhaen merasai nikmat bantuan terus daripada kerajaan.

Tambahnya, ini termasuklah skim moratorium pinjaman dan skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diperkenalkan kerajaan disebabkan kebanyakan isi rumah tidak biasa dengan budaya meminta-minta bantuan terus daripada kerajaan. 

“Khususnya orang Melayu dengan akhlak Islam yang kukuh merasakan praktik meminta-minta bukanlah satu tradisi hidup dalam Islam. Ini menyebabkan skim ini mendapat sambutan luar biasa.

“Atas semangat ‘mendengar rintihan rakyat dan bertindak balas’, kerajaan merestui permintaan rakyat untuk mengeluarkan simpanan dari KWSP walaupun tahu ini akan merosakkan perancangan kewangan jangka panjang. 

“Begitu juga kerajaan akur dengan memperkenalkan skim moratorium yang dapat meringankan beban kewangan rakyat serta-merta waktu kini. Inilah kerajaan yang bukan sahaja mendengar rintihan rakyat dan bertindak balas tetapi bertanggungjawab dalam dasar ekonominya,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.