Siasat Ronnie kerana halang tugas penjawat awam, langgar SOP

77

6 JULAI: Pertubuhan Melayu Islam Raub bersama beberapa NGO lain mendesak polis jalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP-Sungai Pelek, Ronie Liu kerana melakukan provokasi dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas ke atas peneroka tanah kebun durian musang king secara haram di Raub, Pahang, baru-baru ini.

Wakil NGO berkenaan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, Ronie Liu juga dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan merentas negeri untuk datang ke mahkamah untuk memberi sokongan kepada peneroka kebun durian haram yang direman di Mahkamah Raub, semalam.

Fadzli berkata mereka membuat laporan polis berikutan kebiadapan beberapa pemimpin politik terutama dari parti DAP khususnya Ahli Parlimen Raub dan Ahli Parlimen Benton serta ADUN Sungai Pelek.

Malah, Fadzli berkata Ronie Liu dikatakan datang dari Selangor iaitu Zon Merah COVID-19 dan kawasan PKPD ke Raub ini.

“Kami tidak tahu sama kehadiran YB Ronie Liu ke Raub ini adalah urusan rasmi atau sebaliknya. Apa yang pasti beliau merentas negeri dari Selangor (di Zon Merah) ke Rau, Pahang dalam keadaan pelaksanaan PKPD.

“Jadi kita orang Raub takut dan bimbang kerana  Raub adalah kawasan kuning tetapi kes COVID-19 masih terkawal berbanding Selangor,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan polis di IPD Raub, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata kehadiran Ronie Liu ke Raub untuk menghasut penduduk di kawasan dalam isu penerokaan tanah secara haram untuk penanaman durian musang king.

Beliau berkata apa yang paling kurang ajar dan tidak menyenangkan penduduk adalah apabila ADUN Sungai Pelek berkenaan melakukan provokasi ke atas anggota penguatkuasa dan polis yang terbabit dengan operasi menahan peneroka tanah haram terbabit.

“Ronie Liu juga didapati tidak menghormati penjawat awam khususnya anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

“Beliau cuba membawa politik kepartian dalam kes penguatkuasaan pekebun durian musang king haram terbabit.

“Justeru itu kami NGO di Raub membuat laporan polis supaya menjalankan siasatan ke atas Ronie Liu kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain soal rentas negeri dari Selangor ke Pahang atas tujuan tertentu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.