Saya Tiada Masa Untuk Berpolitik – KJ

120

6 JULAI: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, menegaskan beliau tiada masa untuk melayan mana-mana pihak untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana terlalu sibuk dengan tugas sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata perkara paling penting baginya sekarang ialah untuk memastikan PICK berjalan lancar dan Malaysia dapat mencapai tahap imuniti kelompok mengikut tempoh ditetapkan kerajaan.

“Saya tiada masa nak main politik,” katanya pada sidang media di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau mengulas desakan kepimpinan UMNO yang mahu ahli Parlimennya meletakkan jawatan sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebelum 1 Ogos ini.

Pada 21 Jun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan tempoh 14 hari kepada kerajaan PN untuk mengadakan semula sidang Parlimen.

Langkah itu dilihat sebagai alasan bagi Ahmad Zahid mengeluarkan UMNO daripada kerajaan yang sebelum ini enggan memanggil Parlimen pada kadar segera.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam mengumumkan parlimen akan bersidang semula, yang secara kebetulan adalah hari terakhir tempoh yang diberikan Ahmad Zahid.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.