Nikah Online:Che Abdullah kunci mulut, serah pada peguam

201

6 JULAI: Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, kunci mulut berhubung penularan klip video mendakwa beliau menikahi seorang wanita di Selatan Thailand, secara ‘online’ baru-baru ini.

Berikutan itu, Ahli Parlimen PAS Tumpat berkenaan memohon maaf kerana tidak dapat mengulas lanjut kerana bimbang perkara itu akan menyinggung pihak tertentu.

“Saya mohon maaf sekiranya isu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan saya dalam minggu ini menyinggung mana-mana pihak tetapi saya tidak boleh memberi penjelasan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan Jelapang Padi Seberang Perak, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan pernikahannya dengan seorang wanita yang didakwa dilakukan dalam negara, manakala jurunikah di Thailand seperti yang tular di laman sosial.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata beliau juga dinasihati peguam untuk tidak mengeluarkan sebarang penjelasan mengenai perkara itu dan menyifatkan ia sangat peribadi.

Che Abdullah juga mengesahkan peguamnya juga sedang meneliti ruang undang-undang yang boleh diambil kepada mana-mana pihak yang cuba mengaibkannya.

“Saya berasa amat kesal dengan isu ni di mana isu yang dihebohkan itu bersifat sangat peribadi yang membabitkan bukan saja saya tetapi juga seluruh keluarga saya.

“Isu seperti ini sepatutnya tidak berlaku. Ia seolah-olah (ada) niat atau motif yang mahu mengaibkan atau menjatuhkan maruah saya sekeluarga atau mungkin untuk menganggu kerja saya sebagai Timbalan Menteri,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan sepatutnya ditangani secara peribadi dan bukannya untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai.

Sehubungan itu katanya, beliau memohon kepada semua pihak agar memberi keadilan dan ruang untuknya menyelesaikan isu itu dengan baik serta menghormati privasi keluarganya.

“Isu ini juga tidak mengganggu saya untuk terus melaksanakan kerja sebagai Timbalan Menteri Pertanian II dan saya akan meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen sebaiknya,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial beberapa keping gambar, video dan dakwaan yang memaklumkan Ahli Parlimen Tumpat itu bernikah lagi apabila dia dan pasangannya didakwa berada dalam negara manakala jurunikah di Thailand.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.