Kes positif melebihi angka 7,000 hari ini

30

6 JULAI: Kementerian Kesihatan mengesahkan jumlah kes positif COVID-19 harian di Malaysia kembali meningkat melebihi angka 7,000 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan 7,654 kes positif baharu dilaporkan hari ini jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia kini meningkat kepada 792,693 kes.

Beliau berkata, Selangor terus mencatatkan kes positif tertinggi iaitu sebanyak 3,260 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 1,550 kes dan Negeri Sembilan dengan 698 kes.

“Kedah pula mencatatkan 337 kes, diikuti Johor (313), Sarawak (286), Melaka (230), Sabah (225), Pulau Pinang (185), Pahang (180) dan Kelantan (118)

“Lima negeri kini mencatatkan bawah 100 kes baharu ialah Perak (94), Labuan (82), Terengganu (61), Putrajaya (33) dan Perlis (2),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata tumpuan pengagihan bekalan vaksin ketika ini adalah ke negeri yang mempunyai kadar positiviti dan ‘kadar insiden’ COVID-19 yang tinggi.

Beliau lima negeri menjadi sasaran bulan ini iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Negeri Sembilan selain Kelantan yang menunjukkan peningkatan kes jangkitan.

“Kita buat keputusan hantar (vaksin) berdasarkan kedudukan negeri itu. Sebagai contoh, untuk bulan ini antara negeri yang menjadi sasaran (pemberian vaksin yang tinggi) ialah Selangor, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan.

“Ini (negeri) yang mempunyai kadar insiden yang tinggi. Setiap minggu kita selaraskan pengagihan (vaksin) berdasarkan kepada data dari negeri berkaitan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, Khairy berkata kerajaan tidak bercadang mewujudkan PPV di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berikutan pelaksanaan perintah kawalan itu bersifat dinamik dan sentiasa berubah dari semasa ke semasa.

“Kalau nak hantar vaksin setiap minggu ke kawasan baharu, (sukar) kerana senarai PKPD adalah dinamik. Mungkin minggu ini kawasan itu dikenakan PKPD, minggu depan ia keluar dari PKPD.

“Kalau kita nak ‘shift supply’ untuk keseluruhan negara berdasarkan senarai PKPD yang sentiasa berubah, ia akan menjadi satu perkara yang agak rumit,” katanya.

Kerajaan Selangor sebelum ini membuka PPV di Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya, yang dikenakan PKPD sejak Khamis lalu.

PPV itu yang bermula semalam, menyasarkan untuk memberi vaksin COVID-19 kepada kira-kira 8,000 penduduk di Mentari Court.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.