Hamzah arah PDRM segera siasat kenyataan Kit Siang

62

6 JULAI: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya segera melakukan siasatan berhubung kenyataan kontroversi dimuat naik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang membabitkan isu ‘Kerajaan Allah’.

Hamzah berkata, kenyataan Kit Siang itu dilihat berunsur hasutan dan cuba memecah belahkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Tegasnya, siasatan perlu diperluas kepada mana-mana individu dikenal pasti melakukan tindakan sama hingga menggugat keharmonian di negara ini.

“Kalau betul dia (Kit Siang) lakukan, apa masalah beliau dengan Allah? Walaupun dia tak kenal Allah, saya nak maklumkan, Allah adalah Tuhan umat Islam.

“Saya mintalah kepada sesiapa pun, kalaulah Kit Siang lakukan sesuatu dan ditularkan ramai netizen, saya minta supaya PDRM siasat dan ambil tindakan.

“Kalau pun melibatkan individu lain, bukan hanya Kit Siang tetapi mereka ada dalam negara, tolong bantu kita waktu ini untuk tidak pecah belahkan sesiapa,” katanya kepada pemberita selepas menyertai meninjau pelaksanaan Op Bantu di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Terdahulu, Kit Siang yang juga veteran DAP, baru-baru ini, memuat naik kenyataan berbahasa Inggeris di laman Facebooknya yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Dalam artikel itu, Kit Siang menulis, “Sekiranya ‘Kerajaan Allah’ adalah bentuk pemerintahan terbaik dalam pandemik COVID-19, mengapa Malaysia dalam senarai bawah dalam indeks global ekonomi berbanding Hong Kong, New Zealand, Korea Selatan, China, Jepun, Rusia, Thailand , Singapura, Vietnam dan Taiwan yang semuanya tidak pernah mengaku ‘Kerajaan Allah’.”

Bagaimanapun, kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berbunyi “Pandemik COVID-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya ‘Kerajaan Allah’ yang maha berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan virus itu. Manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan. Oleh itu pemimpin perlu bermuhasabah diri.”

Get real time updates directly on you device, subscribe now.