Polis akan panggil Ronnie, dua kertas siasatan telah dibuka

258

5 JULAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sungai Pelek, Selangor, Ronnie Liu akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kehadirannya di Kompleks Mahkamah Raub, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Senior Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, pihaknya sudah membuka dua kertas siasatan terhadap wakil rakyat dari Selangor berkenaan.

“Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kita sedang menyiasat sama ada Liu melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita sudah menghubunginya untuk hadir ke Balai Polis Raub,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, berlaku kekecohan di pekarangan mahkamah ketika 18 pekebun yang ditahan di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub, semalam dibawa untuk mendapatkan perintah reman.

Dalam satu video tular, Liu dilihat mempersoalkan tugas pegawai polis di hadapan sebuah lori polis yang membawa kesemua pekebun terbabit.

Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Raub mengarahkan 18 pekebun durian musang king haram ditahan reman dua hari mulai hari ini kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, Pahang, baru-baru ini.

Perintah reman itu dibuat Penolong Pendaftar Mahkamah Raub, Yusri Wanu Suki, pagi ini selepas mendengar permohonan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPN).

Terdahulu, media melaporkan seramai 18 individu yang dipercayai pekebun durian, ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub, kelmarin.

Kesemua mereka itu juga terbabit dalam memprovokasi pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Pahang yang menjalankan operasi di kawasan itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub pada 4 petang untuk tindakan lanjut.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam kenyataannya, berkata mereka didapati memasuki hutan simpan kekal itu tanpa izin dan melakukan provokasi melampau terhadap kakitangan jabatan itu yang menjalankan operasi penguatkuasaan membersihkan ladang haram.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.