Pfizer Sumbangan AS Selamat Tiba di Malaysia

26

5 JULAI: Satu juta dos vaksin jenis Pfizer yang disumbangkan oleh Amerika Syarikat (AS) selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor pada jam 8.12 pagi tadi.

Vaksin itu dibawa menaiki pesawat Raya Airways TH 384 dan turut bersama menyambut ketibaan vaksin berkenaan ialah Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 (PICK), Khairy Jamaluddin; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters.

Terdahulu, Kerajaan menzahirkan penghargaan tinggi atas ihsan AS yang sudi menyumbangkan satu juta dos vaksin jenis Pfizer yang  memberi manfaat yang besar buat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan.

Hishamuddin berkata, Malaysia amat menghargai sokongan Amerika Syarikat setakat ini dan berharap hubungan yang erat serta mesra antara kedua-dua negara akan terus diperkukuhkan demi manfaat bersama.

Selain vaksin, Amerika Syarikat melalui Kedutaannya di Kuala Lumpur turut menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada Malaysia sejak pandemik melanda tahun lalu.

Ini termasuklah kelengkapan perubatan, Personal Protective Equipment (PPE), serta peralatan ICT, dengan nilai AS$250,000 (RM1,039,000).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.