Muhyiddin pengerusikan mesyuarat MKN dari hospital

30

5 JULAI: Biarpun masih menerima rawatan di hospital, namun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetap menjalan tugasnya dengan mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui sidang video bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 di dalam negara.

Perdana Menteri berkata, antara perkara dibincangkan termasuklah pelaksanaan PKPD yang sedang berkuatkuasa di mukim-mukim di Selangor dan 14 lokaliti di WP Kuala Lumpur, serta laporan pemantauan setiap negeri di dalam fasa pemulihan negara.

“Alhamdulillah, selain lima (5) buah negeri yang telah pun beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), terdapat beberapa buah negeri lagi yang menunjukkan perkembangan yang amat baik dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat.

“Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini hari ini.

Muhyiddin juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan badan-badan amal, parti-parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang tampil menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pada masa ini di samping bantuan-bantuan disampaikan oleh pihak kerajaan. Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah S.W. T.

Pada 30 Jun lalu, media melaporkan Perdana Menteri dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan dan pemantauan selepas mengalami diarea.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.