MP, Senator PAS Diarah Segera Agih Bakul Makanan

34

5 JULAI: PAS mengarahkan agar semua ahli Parlimen dan Senator agar segera menggerakkan program Bantuan Bakul Makanan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan itu seiring dengan peruntukan kerajaan kepada setiap ahli Parlimen serta penambahan RM300,000 melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) baru-baru ini.

Selain itu, pihaknya juga mengarahkan semua wakil rakyat di kalangan PAS turun padang menjaga kebajikan golongan terjejas dengan memanfaatkan segala kemudahan yang telah disediakan.

“PAS sentiasa komited dalam melaksanakan gerak kerja dakwah dan kebajikan atas dasar Islam mengajarkan umatnya untuk hidup bermasyarakat dengan saling berkenalan serta tolong-menolong.

TUAN IBRAHIM

“PAS juga telah menggiatkan bantuan kit makanan melalui Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri dan PAS Kawasan-kawasan bagi membantu isi rumah yang terjejas akibat wabak COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengharapkan agar insiatif yang dilaksanakan ini dapat memberikan kelegaan buat mereka yang memerlukan khuhusnya mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

“Semoga usaha ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan dan semua umat Islam diseru untuk terus berdoa agar wabak ini diangkat segera oleh Allah,” katanya. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pengumuman PEMULIH memaklumkan sejumlah RM300,000 diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat melalui bakul makanan ini, Muhyiddin memaklumkan, kerajaan mengambil sikap mengenepikan perbezaan politik. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.