KKM bimbang varian baharu merebak dengan pantas

25

5 JULAI: Kementerian Kesihatan (KKM) melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan kes COVID-19 akibat penularan varian baharu yang dikatakan merebak secara lebih meluas dan pantas termasuk menerusi udara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sehingga kini KKM mengesan 584 kes varian baharu hasil daripada penjujukan genom dilakukan terhadap varian Delta (dari India).

Beliau berkata, sebanyak 40 kes dikenal pasti daripada varian B1617.2, manakala B1.352 (136 kes); B117 (10 kes); B1525 (dua kes); B161.7.14 (empat kes) dan varian membimbangkan atau varian kepentingan lain (392 kes).

“Kegiatan pencegahan dan kawalan berterusan dijalankan bagi mana-mana kes dikesan melalui kadar insiden tinggi dalam satu kawasan, yang mana kes menular dengan cepat, membabitkan kematian atau kes tinggi dalam kawasan serta kes tertinggi harian, kita akan buat jujukan genom.

ADHAM

“Dari situ kita akan tahu sama ada individu itu mendapat jangkitan daripada varian baharu. Ia ada kaitan dengan vaksin diberikan dan kita sudah maklumkan dua dos adalah dasar perlu dilaksanakan di negara ini supaya imunisasi dan ketahanan daripada varian baharu ini dicapai dengan baik,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) yang turut dihadiri Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, hari ini.

Terdahulu, Dr Adham mengesahkan sebanyak 18.6 maklum balas kendiri berhubung kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI), diterima melalui aplikasi Mysejahtera bagi setiap 1,000 dos vaksin diberikan sejak PICK dilancarkan, pada 24 Februari lalu..

Beliau berkata antara AEFI atau kesan sampingan paling kerap dialami penerima vaksin COVID-19 yang sering dilaporkan ialah sakit kepala dan di tempat suntikan, selain keletihan.

“Sebanyak 1.4 laporan diterima bagi setiap 1,000 dos, berdasarkan pelaporan sedia ada melalui sistem pemantauan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Hanya 0.07 (maklum balas berhubung AEFI) bagi setiap 1,000 dos vaksin COVID-19, diklasifikasikan sebagai serius dan perlu dimasukkan ke hospital bagi rawatan lanjut dengan sebahagian besarnya dimasukkan untuk jangka pendek.

“Setakat ini, belum ada penggunaan dana Tabung Bantuan Mudarat Vaksin COVID-19 untuk diberikan kepada mereka yang menerima kesan atau mudarat vaksin COVID-19 di negara kita,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.