Kes meningkat, Selangor kekal tinggi

20

5 JULAI: Walaupun masih kekal di paras 6,000 kes, namun jangkitan baharu COVID-19 mencatatkan peningkatan semula apabila Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 6,387 kes hari ini berbanding semalam iaitu 6,045 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan penambahan jumlah itu menjadikan positif COVID-19 sebanyak 785,039 kes keseluruhan.

Menurut beliau, Selangor masih kekal penyumbang tertinggi kes jangkitan harian COVID-19 dengan 2,680 kes hari ini yang merekodkan peningkatan kes berbanding semalam iaitu 2,262 kes. 

“Walaupun kes menunjukkan peningkatan namun lapan negeri menunjukkan penurunan iaitu Negeri Sembilan (523), Kedah (273), Perak (249), Melaka (206), Pulau Pinang (157), Kelantan (114), Labuan (71), dan Terengganu (17). 

NOOR HISHAM

“Hanya Kuala Lumpur (819), Sarawak (424), Sabah (263), Putrajaya (25) serta Pahang (312) menunjukkan peningkatan kes hari ini manakala Perlis masih kekal merekodkan sifar kes,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, menerusi hantaran berbeza, Noor Hisham memberitahu  Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di seluruh negara menunjukkan sedikit penurunan iaitu kini berada di paras 1.06 berbanding semalam dengan nilai 1.07.

Menurut data semalam yang dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan itu, bagi pecahan mengikut negeri pula, dua negeri mencatatkan paras Rt dengan nilai sama iaitu 1.17 yang direkodkan di Pahang dan Putrajaya.

“Data berkenaan turut menunjukkan nilai Rt di Putrajaya sedikit meningkat, berbanding kelmarin iaitu sekitar 1.06 manakala di Pahang pula ia menunjukkan penurunan iaitu 1.24.

“Bagaimanapun, nilai Rt di kedua-dua negeri dan wilayah itu tetap yang tertinggi berbanding negeri lain serta melebihi nilai Rt di seluruh negara,” katanya. 

“Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 4 Julai untuk seluruh negara adalah 1.06. Negeri lain yang mencatatkan nilai Rt lebih 1.0 ialah Melaka (1.12); Selangor (1.08); Kuala Lumpur (1.06); Kedah (1.05); Terengganu (1.04) dan Sabah (1.02).

“Negeri yang mencatatkan nilai Rt bawah 1.0 pula ialah Negeri Sembilan (0.97); masing-masing 0.91 di Johor dan Labuan; Sarawak (0.90); Terengganu (0.88) dan Kelantan (0.82),” katanya dalam Twitter, semalam.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai Rt, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif. Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bermaksud satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.