Hanya remaja berisiko tinggi akan diberi vaksin COVID-19

21

5 JULAI: Hanya golongan remaja berusia 12 tahun ke atas yang berisiko tinggi akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

Antara kategori remaja berisiko yang akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 termasuk mereka mempunyai masalah sistem imunisasi rendah dan pesakit kronik seperti kanser, sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata remaja lain yang tiada masalah kesihatan akan diberikan vaksin itu selepas selesai semua fasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) membabitkan populasi dewasa.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kanak-kanak dan remaja yang mempunyai masalah kesihatan dapat dilindungi.

“Pada minggu lalu, Menteri Kesihatan, Menteri Pendidikan dan saya diberikan taklimat yang agak panjang lebar oleh kumpulan pakar JKJAV diketuai Dr Kalai. Kami mengambil pendirian untuk lebih berhati-hati dalam pemberian vaksin terhadap remaja.

“Saya rasa keputusan dibuat Menteri Kesihatan dan JKJAV ini satu keputusan baik untuk melindungi kanak-kanak mempunyai masalah kesihatan terlebih dulu.

“Kita bersetuju dengan pembukaan sekolah dan pemberian vaksin akan diberikan terlebih dulu kepada guru, kakitangan sokongan termasuk pemandu bas.

“Hanya remaja mempunyai masalah kesihatan berisiko tinggi manakala imunisasi terhadap kanak-kanak lain boleh dilaksanakan sehingga fasa seterusnya,” katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba secara maya, hari ini .

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya meminta jawatankuasa khas dalam JKJAV untuk sentiasa menilai data klinikal semasa termasuk kes myocarditis dalam kalangan remaja serta vaksin keluaran Sinovac untuk kegunaan remaja.

Beliau berkata, menjelang semua populasi dewasa selesai divaksin, pihaknya yakin CITF mempunyai data mencukupi untuk menjalankan vaksinasi terhadap semua remaja.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.