Fitnah Ismail Sabri: SU Politik buat laporan polis

165

5 JULAI: Setiausaha Politik kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad mengesahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan sepertimana yang didakwa pemilik akaun Facebook bernama Lokman Adam. 

Justeru, Syed Mohd telah pun membuat laporan polis hari ini berhubung tuduhan fitnah kononnya Naib Presiden UMNO itu cuba menyakinkan Ahli Parlimen menjadi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jika mereka tidak dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). 

“Saya  telah diarahkan untuk membuat laporan ini berkaitan dengan video yang saya telah teliti ketika saya berada di sekitar PWTC lebih kurang jam 11 pagi bertarikh 4Julai 2021.Saya meneliti sebuah video berdurasi 1 jam dan 42 saat yang telah dimuat naik oleh seorang pemilik akaun facebook bernama Lokman Adam.

“Setelah saya meneliti isi kandungan video tersebut saya dapati dengan jelas pemilik akaun Facebook bernama Lokman Adam ini telah membuat fitnah dan hasutan kepada  Ismail  yang merupakan Menteri Kanan Pertahanan dan juga Naib Presiden Umno,” katanya ketika ditemui media selepas selesai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini

Dalam pada itu, Syed Mohd Fazmi memberitahu, Ismail Sabri yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak pernah membuat sebarang kenyataan sepertimana yang didakwa Lokman.

Justeru, beliau mengharapkan agar pihak polis melakukan siasatan ke atas Lokman di bawah Akta Hasutan 1948, Akta AntiBerita Tidak Benar (Akta 803) dan Akta SKKM (Akta 1998).

“Tujuan saya membuat laporan ini adalah untuk memohon pihak PDRM membuat siasatan dan seterusnya pendakwaan ke atas pemilik akaun Facebook Lokman Adam.

“Ini kerana secara jelas beliau telah sewenangnya membuat tuduhan terbuka dan menyebabkan kerosakan kepada imej Ismail selaku Naib Presiden Umno dan Menteri Kanan Pertahanan,” katanya.

Terdahulu, Lokman menerusi video yang dimuat naik pada 3 Julai di Facebook miliknya mendakwa kononnya Ismail Sabri cuba meyakinkan Ahli Parlimen UMNO untuk menjadi calon BERSATU jika tidak terpilih mewakili UMNO dalam PRU-15 .

Get real time updates directly on you device, subscribe now.