18 pekebun Musang King haram direman dua hari

42

5 JULAI: Mahkamah Raub mengarahkan 18 pekebun durian Musang King haram ditahan reman dua hari mulai hari ini kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, Pahang, baru-baru ini.

Perintah reman itu dibuat Penolong Pendaftar Mahkamah Raub, Yusri Wanu Suki, pagi ini selepas mendengar permohonan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPN).

Terdahulu, media melaporkan seramai 18 individu yang dipercayai pekebun durian, ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal Batu Talam di Raub, kelmarin.

Kesemua mereka itu juga terbabit dalam memprovokasi pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Pahang yang menjalankan operasi di kawasan itu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Raub pada 4 petang untuk tindakan lanjut.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam kenyataannya, berkata mereka didapati memasuki hutan simpan kekal itu tanpa izin dan melakukan provokasi melampau terhadap kakitangan jabatan itu yang menjalankan operasi penguatkuasaan membersihkan ladang haram.

“Sepanjang operasi, kakitangan jabatan mengalami kesulitan kerana tindakan pekebun terbabit yang melakukan provokasi. Mereka itu cuba menghalang kenderaan jabatan memasuki dan meninggalkan lokasi operasi.

“Jabatan Perhutanan kemudiannya membuat laporan polis dan memberikan rakaman video untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Jabatan itu mengadakan operasi membersihkan ladang durian haram di hutan simpan kekal terbabit bersama dengan agensi kerajaan dan polis di kawasan seluas 101 hektar.

“Operasi ini dilakukan untuk memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dan menahan individu atau pekebun yang memasuki hutan simpan kekal tanpa izin.

“Jabatan akan merampas semua kenderaan dan barang yang ditemukan dalam kawasan hutan simpan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman, berkata pekebun itu termasuk seorang wanita, ditahan semalam.

“Mereka mulanya disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 427 kerana menyebabkan kerosakan, kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

“Bagaimanapun, JPNP sudah memulakan siasatan berikutan tindakan memasuki hutan simpan dan mereka direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam, Chan Yen Hui, yang mewakili pekebun berkenaan, berkata JPNP pada awalnya meminta perintah reman selama empat hari di atas beberapa sebab termasuk pegawai memerlukan lebih masa untuk merekod kenyataan daripada kumpulan pekebun.

“Bagaimanapun, kami berpandangan, tangkapan dibuat pada jam 1.30 tengah hari semalam dan pihak berkuasa sepatutnya mempunyai masa mencukupi bagi merekod kenyataan.

“Selepas mendengar penghujahan kedua belah pihak, mahkamah bersetuju membenarkan perintah reman selama dua hari sehingga tengah malam esok,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.