Katil Hospital Lembah Klang sudah digunakan lebih 85 peratus

12

4 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan penggunaan katil secara keseluruhan di hospital Lembah Klang kini sudah melebihi kapasiti 85 peratus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata daripada jumlah itu, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima antara 60 hingga 70 pesakit COVID-19 setiap hari. 

“Purata kemasukan kemasukan itu adalah tiga pesakit kategori empat dan kategori lima yang memerlukan bantuan pernafasan, manakala pesakit kategori lima perlu dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Daripada keseluruhan kes COVID-19 yang dikendalikan HKL, 71 peratus adalah pesakit kategori tiga hingga lima, manakala bakinya pesakit kategori satu dan dua,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Justeru, Adham memaklumkan KKM memutuskan empat langkah afirmatif yang akan dilaksanakan segera bagi mengatasi lonjakan jumlah pesakit COVID-19 yang tinggi di Lembah Klang, khususnya Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut beliau, langkah afirmatif diputuskan bagi mengatasi isu keperluan penyediaan katil tambahan, khususnya di ICU, yang antaranya memperluaskan penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta bagi membolehkan HKL menerima dan merawat lebih ramai pesakit COVID-19.

“Selain itu, kapasiti katil ICU dan bukan ICU, termasuk peralatan dan kemudahan seperti alat bantuan pernafasan, akan ditingkatkan di hospital KKM dan hospital pengajar universiti bagi menerima dan merawat lebih ramai pesakit COVID-19.

“Penugasan semula secara sementara akan dilaksanakan kepada petugas kesihatan terdiri daripada pakar perubatan dan anggota paramedik dari negeri tertentu bagi menyokong perkhidmatan di hospital KKM dan hospital pengajar universiti yang memerlukan petugas tambahan bagi merawat pesakit COVID-19.

“KKM juga akan mengoptimumkan sumbangan sukarelawan dan pelajar kejururawatan tahun akhir daripada institut latihan KKM yang sedang menjalani latihan praktikal (akan divaksin dahulu) bagi membantu petugas kesihatan sedia ada seperti di pusat pemberian vaksin (PPV).

“Sebahagian anggota jururawat berpengalaman yang ditugaskan di PPV dan Pusat Saringan COVID-19 akan ditugaskan semula bagi menyokong penyampaian perkhidmatan di hospital KKM,” katanya. 

Dalam pada itu Adham berkata, HKL yang berstatus hibrid, iaitu menerima pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19, sudah berusaha menangani jumlah kedatangan atau rujukan pesakit yang tinggi ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, menerusi penyediaan dan penggunaan katil tambahan.

Beliau berkata, pesakit COVID-19 yang telah stabil juga akan dipindahkan ke Hospital Rehabilitiasi Cheras dan Institut Perubatan Respiratori bagi membolehkan HKL menerima dan merawat segera pesakit COVID-19 yang lain.

“Peningkatan jumlah kedatangan atau rujukan pesakit COVID-19 ke hospital KKM di Lembah Klang juga ditangani dengan kerjasama Hospital Sungai Buloh serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS, yang turut mengendalikan sementara pesakit hingga kategori empat sebelum dipindahkan ke hospital.

“KKM juga bekerjasama dengan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hospital Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM), serta Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19,” katanya.

Pada masa sama, Dr Adham memberi jaminan kerajaan akan menggandakan pemberian vaksin kepada 300,000 dos sehari menerusi tambahan perolehan vaksin dan pembukaan lebih banyak PPV seluruh negara.

“Ia termasuk PPV Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.