Kerjasama Kerajaan-pembangkang perlu demi kebajikan rakyat

40

4 JULAI: Semua pemimpin politik perlu meletakkan prinsip kerjasama dan rekonsiliasi antara parti tidak kira kerajaan mahupun pembangkang bagi mengatasi budaya persaingan serta perseteruan dalam kehidupan rakyat yang semakin terancam dengan pandemik COVID-19.

Justeru, Pengerusi Dewan Senior Majlis Dakwah Negara, Profesor Emeritus Tan Sri Mohd Kamal Hassan menyeru semua parti dan pemimpin politik khususnya yang beragama Islam perlu menerima baik gesaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Parlimen bersidang demi kepentingan rakyat.

“Perkara ini diharapkan dapat memberikan keutamaan sewajarnya kepada penyelesaian masalah dan penderitaan rakyat.

“Ini kerana tindak-tanduk dan perlakuan politik individu atau parti tidak akan terlepas daripada penanggung jawapan di hadapan Allah di hari pembalasan di alam akhirat nanti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, Muhammad Kamal yang juga Penasihat Kehormat, Pusat Islamisasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyeru kuasa politik dijadikan satu alat yang ampuh bagi membasmi budaya rasuah serta perilaku tidak beretika dalam institusi pemerintah.

“Kuasa tersebut perlu dijadikan alat penyatuan umat dan negara serta bukan memanjangkan perseteruan antara kaum atau intra kaum.

“Saya berharap agar pemimpin negara dan parti politik Islam tidak terpengaruh dengan taktik halus Zionis Israel dengan mengadakan hubungan diplomatik atau normalisasi politik dengannya,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.