Kenyataan Rafidah Aziz tidak tepat-CUEPACS

84

4 JULAI : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengakui penjawat awam sememangnya tidak terkesan daripada segi pendapatan ketika penularan COVID-19. 

Bagaimanapun, Presidennya, Adnan Mat berkata, daripada sudut isi rumah hampir 50 peratus pasangan tidak bekerja di sektor kerajaan dan turut terkesan akibat pandemik. 

Justeru, beliau menegaskan tidak salah jika CUEPACS membawa suara penjawat awam yang meminta supaya kerajaan melaksanakan moratorium bagi pembayaran pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

“Ini kerana terdapat penjawat awam turut terjejas apabila pasangan masing-masing tidak lagi boleh berniaga, dipotong gaji malah ada yang diberhentikan kerja.

“CUEPACS berpendapat konteks yang cuba disampaikan oleh bekas menteri tersebut tidak begitu tepat kerana menyentuh penjawat awam sebagai individu dan bukannya sebagai isi rumah.

“Selain itu, kebanyakan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan melihat daripada kesan langsung kepada isi rumah dan bukannya individu semata-mata,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang mempersoalkan alasan permohonan CUEPACS yang mahu penangguhan pembayaran balik pinjaman perumahan oleh penjawat awam.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berpendapat, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu keperluan untuk memberi bantuan kewangan kepada orang yang menerima pendapatan tetap.

Rafidah berkata, sekiranya LPPSA membenarkan penangguhan bayaran pinjaman dilakukan, penjawat awam akan mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk merancang kembali kewangan serta membantu keluarga yang dalam kesusahan.

Sementara itu, Adnan berkata pelaksanaan moratorium pinjaman bank dan pengeluaran akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan oleh kerajaan tidak menetapkan syarat walau ada pihak yang tidak terjejas turut dibenarkan melakukan permohonan. 

Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif tersebut juga bukanlah mandatori kerana hanya mereka yang mahukannya sahaja boleh memohon dan mereka yang tidak mahu kerana tidak terjejas tiada masalah untuk tidak memohon. 

“Kerajaan melaksanakan inisiatif ini kerana mendengar rintihan daripada golongan M40 dan T20 yang turut mengalami peningkatan tanggungan kerana mereka juga membantu ahli keluarga atau saudara yang terjejas akibat Covid-19. 

“Sebab itulah kerajaan tidak menetapkan apa-apa syarat dalam isu moratorium dan pengeluaran KWSP.

“Jadi, tiada salahnya untuk penjawat awam turut sama mendapat moratorium pinjaman LPPSA kerana secara isi rumahnya mereka turut terkesan.

“Kenyataan bekas menteri tersebut yang mendakwa tidak perlu dibantu kerana masih mempunyai pendapatan hasil daripada wang pencen juga menunjukkan beliau tidak memahami masalah sebenar rakyat biasa apabila sudah berjaya menikmati hasil daripada kerjaya politik, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.