Firma Guaman kawasan PKPD Selangor,KL Dibenar Operasi

24

4 JULAIFirma guaman di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan perintah itu dari 3 hingga 16 Julai ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kebenaran ini diberikan selepas mengambil kira keperluan perkhidmatan guaman untuk menyokong sektor perkhidmatan perlu yang lain serta melancarkan urusan berkaitan dengan mahkamah dan jabatan kerajaan.

Menurut beliau, firma guaman juga perlu menetapkan janji temu dengan anak guam atau pelanggan sekiranya perlu berurusan secara fizikal.

“Hanya dua orang pekerja atau 20 peratus daripada jumlah bilangan pekerja, yang mana lebih tinggi, dibenarkan beroperasi dari pejabat dan waktu ditetapkan antara jam 9 pagi sehingga 1 tengah hari.

“Firma guaman juga boleh memohon kebenaran beroperasi melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 dan kebenaran beroperasi daripada CIMS yang telah diperoleh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 boleh terus digunakan,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan, SOP PKPD perkhidmatan ini boleh dirujuk dari platform komunikasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada sama sama, katanya penguatkuasaan dan pemantauan akan dilakukan secara berintegrasi oleh pihak berkuasa bagi memastikan firma guaman terbabit mematuhi SOP yang ditetapkan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.