Dakwaan rakyat terabai di Petra Jaya tidak benar

32

4 JULAI : Dakwaan menyatakan kebajikan rakyat terabai di sebuah bangunan kedai yang terbengkalai di Batu 9, Jalan Matang, Petra Jaya, Sarawak adalah tidak benar.

Perkara itu dinafikan oleh Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi Facebook miliknya yang melaksanakan siasatan teliti oleh Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Petra jaya dan hasil siasatan mendapati terdapat 15 keluarga yang menetap di kawasan tersebut tinggal secara haram.

“Hasil siasatan mendapati 15 keluarga tinggal secara haram di bangunan kedai dua tingkat di Batu 9, Jalan Matang. Kesemua penghuni berkenaan juga disahkan sebagai orang luar, bukannya penduduk asal Parlimen Petra Jaya seperti didakwa.

“Malah salah seorang daripadanya berasal dari Sabah dengan isterinya warga Indonesia, dah telah dikenalpasti sebagai pendatang tanpa izin.

“Individu dari Sabah berusia 33 tahun itu bekerja sebagai buruh kasar, manakala isterinya  berasal dari Bandung, Indonesia.

“Seramai 14 lagi keluarga yang tinggal di situ, lima berasal dari Lubok Antu;  tiga dari Lundu;  tiga dari Sri Aman;  masing-masing seorang dari Kapit, Betong dan Bintawa Ulu. Kebanyakan mereka bekerja sebagai buruh kasar,  selain ada yang bekerja di kedai makan, kedai kopi, wireman dan juga ada yang menganggur,” katanya.

Terdahulu, seorang individu menerusi Twitter yang dikenali sebagai @apanakdikato pada 3 Julai lalu dilihat memuat naik ciapan tersebut hanya bertindak berniat jahat untuk memburukkan Fadillah.

“Nama sahaja Menteri Kerja Raya, tapi rakyat di parlimen sendiri tinggal di kawasan terbiar…Ingatkan ada satu keluarga je, rupanya ada enam keluarga duk di situ” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya memberitahu, walaupun semua penghuni tersebut menetap di situ secara haram, namun Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya juga sudah beberapa kali menghantar bantuan makanan asas termasuk beras, gula, mi segera, bihun, telur, cordial dan tepung atas dasar perikemanusiaan.

Justeru, beliau yang merupakan Ketua Whip GPS menegaskan untuk mana-mana pihak  membuat tuduhan palsu dengan mendakwa penghuni terbabit adalah penduduk asal Petra Jaya yang dibiarkan tanpa dibantu,  adalah amat keterlaluan, fitnah dan tidak bertanggungjawab.

“Sebagai Ahli Parlimen kawasan Petra Jaya, ada tiga rakan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang sentiasa berusaha sehabis baik untuk memenuhi keperluan dan kesejahteraan penduduk.

“Biarpun ramai juga penduduk di Petra Jaya bukan warga asal  Petra Jaya serta bukan pengundi, namun saya tidak melihat perkara itu sebagai alasan untuk kita tidak membantu mereka yang memerlukan bantuan. Jika ada pun perkara yang mungkin kami terlepas pandang, namun setelah mendapat tahu mengenainya, kami  sedaya upaya cuba menanganinya sebaik mungkin.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menyalurkan maklumat termasuk dari pihak pembangkang. Saya ingin mengajak semua pihak bersama-sama membantu mereka yang memerlukan bantuan dan tidak menjadikan sesuatu isu itu sebagai senjata politik untuk kepentingan diri,” katanya.  – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.