Angka kes baharu, kematian menurun berbanding semalam

37

4 JULAI : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 6,045 kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 778,652 kes, manakala kes aktif pula meningkat ke angka 67,669 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 20 kes import yang melibatkan 13 warganegara dan tujuh bukan warganegara dikesan.

“Selangor kekal dengan rekod tertinggi kes iaitu sebanyak 2,262 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 616 kes dan Johor sebanyak 500 kes.

“Kes sembuh hari ini pula adalah sebanyak 5,271 kes, manakala kes yang perlu menerima rawatan di unit rawatan rapi adalah sebanyak 971 kes, di mana 443 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya menerusi kenyataan harian perkembangan COVID-19 negara.

Kes kematian pula menurut beliau mencatatkan penurunan hari ini apabila sebanyak 63 kes kematian dicatatkan berbanding 107 kematian semalam.

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 54 kes kematian melibatkan warganegara dan 9 kes melibatkan bukan warganegara.

“Ia melibatkan 25 kes di Selangor, 15 kes di Negeri Sembilan, 10 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing tiga kes di Johor dan Kedah, masing-masing dua kes di Pulau Pinang dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Sarawak, Terengganu dan Melaka,” jelasnya.

Sementara itu, KKM juga telah mengesan sebanyak 17 lagi kluster baharu menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang telah dikesan sebanyak 2,918 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,049 kluster telah ditamatkan dan 869 kluster lagi masih aktif,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.