20 individu masih hilang, dua terkorban bencana tanah runtuh Atami

22

4 JULAI : Seramai 20 mangsa masih dilaporkan hilang selepas rumah mereka ditimpa tanah runtuh susulan hujan lebat dalam kejadian jam 10.30 pagi di bandar Atami, Wilayah Shizuoka, Jepun semalam.

Manakala dua individu disahkan oleh pihak berkuasa Shozuoka terbunuh dalam kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh akibat hujan lebat luar biasa melanda wilayah itu.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di bandar Atami, di wilayah Shizuoka diteruskan pagi ini melibatkan lebih 1,000 anggota.

Pihak penyelamat terpaksa melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamatkan dengan berhati-hati ekoran hujan masih belum berhenti di kawasan tersebut. 

Penduduk tempatan pula dilaporkan mendengar ‘bunyi yang mengerikan’ ketika kejadian dan masing-masing bergegas menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.

Rakaman televisyen menunjukkan arus lumpur meranapkan beberapa bangunan dan menimbus mangsa di bandar Atami, selain orang ramai melarikan diri ketika ia menimpa jalan di lereng bukit.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga sudah meminta bantuan ketenteraan bagi misi menyelamat bagi mencari mangsa yang hilang selepas beberapa rumah hanyut manakala bekalan elektrik bagi 200 rumah di kawasan itu terputus.

Sebilangan besar kawasan di Jepun dilanda musim hujan sehingga beberapa minggu akan datang, sekali gus terdedah kepada risiko bencana banjir dan tanah runtuh, mendorong pihak berkuasa tempatan mengeluarkan perintah pemindahan kepada penduduk di wilayah Shizuoka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.