Wujudkan kembali program ‘Food Bank’

43

3 JULAI: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, mencadangkan kerajaan mewujudkan semula program ‘Food Bank’ bagi membantu rakyat terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang sedang dikuatkuasakan di seluruh negara sekarang.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata kewujudan Food Bank berkenaan membolehkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional, anak syarikat, agensi di bawah kerajaan Persekutuan dan negeri serta swasta menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Inilah masa terbaik melaksanakan suatu perkara yang sehabis baik menyumbang perkhidmatan anda kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

RAZALI

Terdahulu, Razali berkata pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi peruntukan RM300,000 kepada Ahli Dewan Negara bagi melaksanakan Program Bakul Makanan kepada rakyat yang memerlukan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Beliau berkata menerusi surat bertarikh 2 Julai lalu di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), seramai 64 Ahli Dewan Negara seperti yang diedarkan telah dimaklumkan menerima kemudahan peruntukan yang disediakan, tidak kira penyokong kerajaan, parti pembangkang atau kumpulan/pertubuhan tertentu yang diwakili.

“Langkah berhemah ini jelas menunjukkan kerajaan PN berjiwa besar bagi memastikan semua Ahli Dewan Negara dapat menjayakan Program Bakul Makanan secara efektif dan efisien.

“Kebersamaan kerajaan adalah sangat terpuji dalam perkara ini. Di samping itu, kerjasama erat akan dilaksanakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang bukan berasaskan politik untuk menguruskan penyediaan dan pengedaran bagi Program Bakul Makanan di bawah peruntukan Ahli Dewan Negara sedia ada,” katanya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.