Tiada cadangan tarik balik sokongan pada PN – Zambry

1,152

3 JULAI: Barisan Nasional (BN) belum membincangkan sebarang cadangan untuk menarik balik sokongan diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos ini.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Dewan Tertinggi BN tidak ada membincangkan sebarang perkara berkaitan cadangan meninggalkan PN sebelum 1 Ogos ini.

“Ini mungkin berita yang disampaikan oleh kalangan mereka yang membuat berita-berita, saya selaku Setiausaha Agung BN tidak ada apa-apa berita berkaitan dengannya.

“Hal-hal yang demikian, setakat ini tidak kita bincangkan, Saya tidak dapat komen lebih daripada itu,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Amran Bujang, 63, yang rumahnya terbakar malam kelmarin, di Fasa 2F Seri Manjung, Perak hari ini.

Semalam, media melaporkan UMNO sedang memanggil ahli Parlimennya secara berperingkat untuk mendapat perakuan bersama meninggalkan kerajaan PN sebelum 1 Ogos.

Sumber parti yang layak dipercayai memberitahu, lebih 10 ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipanggil menemui Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di pejabat UMNO, bagi membincangkan perkara itu.

Isu tersebut kemudian turut dilaporkan oleh beberapa portal berita lain yang juga memetik sumber dalaman UMNO, yang juga parti tunjang dalam BN.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.