Penerima AstraZeneca mungkin dikenakan syarat memasuki EU

222

3 JULAI: Rakyat Malaysia yang disuntik vaksin AstraZeneca-Oxford mungkin sukar bergerak bebas di Eropah susulan Sijil COVID-19 Digital Kesatuan Eropah (EU) hanya mengiktiraf vaksin yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Menurut laporan CodeBlue, kelulusan vaksin COVID-19 oleh EMA tidak meliputi AstraZeneca yang dihasilkan SK Bioscience Korea Selatan, atau Siam Bioscience Thailand. Vaksin dihasilkan makmal Jepun juga tidak termasuk dalam senarai yang diluluskan EMA.

Thailand dan Korea Selatan menghasilkan vaksin AstraZeneca untuk Malaysia, manakala Jepun baru mendermakan sejuta dos vaksin AstraZeneca ke negara ini.

EU juga tidak mengiktiraf vaksin Covishield buatan India yang dihasilkan menggunakan teknologi seakan-akan Vaxzeveria yang diluluskan di EU dan sebelum ini dikenali sebagai AstraZeneca.

MALAYSIA menerima sumbangan sejuta vaksin AstraZeneca daripada Jepun kelmarin.

Menurut laporan itu, walaupun negara anggota EU mesti mengeluarkan Sijil COVID-19 Digital EU (EUDCC) untuk pengembara tanpa mengira jenis vaksin diterima, syarat tertentu mungkin dikenakan untuk perjalanan ke negara anggota blok berkenaan.

Ini termasuk menjalani ujian COVID -19, atau kuarantin selama 14 hari.

Dalam laporan itu, EMA memberitahu CodeBlue bahawa hanya vaksin AstraZeneca jenis Vaxzevria mendapat kelulusan EU.

Setakat ini, EMA hanya mengiktiraf loji pembuatan AstraZeneca di EU, United Kingdom, Amerika Syarikat dan China.

Terdahulu, kira-kira lima juta penduduk UK yang menerima suntikan AstraZeneca dilaporkan mungkin berdepan sekatan pergerakan di EU kerana menerima vaksin buatan Serum Institute di India.

Menurut EMA,  kelulusan untuk vaksin Sinovac buatan China dan Sputnik V oleh Rusia masih dalam penilaian.

EMA menambah ia tidak bertanggungjawab atas sebarang keputusan berkaitan dengan perjalanan ke EU, termasuk melibatkan EUDCC, sebaliknya sebaliknya bergantung kepada Suruhanjaya Eropah dan setiap negara anggota sendiri.

Penggunaan EUDCC berkuat kuasa di negara anggota EU semalam. Apabila diimbas di lapangan terbang dan sempadan, sijil itu mengesahkan status vaksinasi pengembara sebelum dibenarkan memasuki negara berkenaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.