Op Patuh: 213 dikompaun, 9 premis ditutup

9

3 JULAI: Pihak berkuasa mengeluarkan 213 kompaun dan mengarahkan sembilan premis ditutup hasil pemeriksaan di 19,192 kilang serta 81 asrama penempatan pekerja dalam Op Patuh secara besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara, semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata operasi itu diketuai 157 ketua polis daerah dan membabitkan 26,504 anggota daripada 23 agensi penguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Agensi itu termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jumlah pemeriksaan dan kompaun lebih banyak dikeluarkan berbanding Op Patuh pada 24 Jun lalu. Pada waktu itu, sebanyak 13,904 pemeriksaan dan 63 kompaun dikeluarkan,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pemeriksaan pasukan penguat kuasa di lapangan mendapati banyak premis memperoleh kebenaran untuk beroperasi namun tidak berbuat demikian ketika pemeriksaan Op Patuh semalam.

“Pasukan penguat kuasa sudah mengenal pasti premis berkaitan dan akan menjalankan siasatan lanjut secara berkala di kawasan mencurigakan dari semasa ke semasa.

“KDN akan terus mengkoordinasikan Op Patuh secara besar-besaran dan serentak dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi mengekang penularan COVID-19 terutama dalam kalangan pekerja sektor ekonomi dibenarkan beroperasi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.