Tarikh sidang parlimen akan ditentukan Rabu depan

70

2 JULAI: Tarikh sebenar bila sidang Parlimen akan dibuka semula akan ditentukan dalam Mesyurat Kabinet dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Putrajaya, pada Rabu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu membuktikan Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berkaitan persidangan Parlimen.

“Sehubungan dengan itu YAB Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen Malaysia secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.

“Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini sebentar tadi.

Sebelum ini, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya persidangan Dewan Rakyat diadakan secepat mungkin mengikut garis panduan dan SOP COVID-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

Pandangan itu dizahirkan Agong selepas berkenaan menerima menghadap Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 28 Jun lalu.

Turut menghadap ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam pada itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) memperlihatkan sifat gila kuasa dan ‘lebih sudu pada kuah’ apabila mengarahkan semua wakil rakyat pembangkang hadir ke Parlimen pada 19 Julai ini walaupun Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya sidang Dewan Rakyat dibuat secepat mungkin tanpa menyebut tarikh secara khusus.

Malah, MPPH dalam kenyataan bersama ditandatangani oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, turut mengarahkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya menetapkan tarikh sidang Dewan Rakyat selewat-lewatnya pada 5 Julai ini.

MPPH berkata, langkah itu bertujuan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menghormati prinsip demokrasi berperlembagaan.

Menurut mereka, sidang Parlimen mesti diadakan sebelum 1 Ogos ini untuk membahaskan krisis pandemik Covid-19, proklamasi darurat, Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 2021 dan Pelan Pemulihan Negara selaras titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

“Ini untuk memastikan usaha berkesan mengekang penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi serta kehidupan harian dihadapi rakyat.

“Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang telah membunuh diri dan mengibarkan bendera putih. Maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukannya politik,” kata kenyataan berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.