Tidak halang kibar bendera putih jika di tempat sepatutnya

107

2 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang ugutan dilakukan terhadap penduduk berhubung isu pemasangan bendera putih di Bukit Setongkol seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penduduk hanya diminta menurunkan bendera tersebut kerana ia dipasang pada tiang elektrik.

Menurut beliau, pihak polis tiada halangan untuk bendera putih dikibarkan kerana tidak ada dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan perbuatan itu salah atau melanggar undang-undang setakat ini.

“Tidak ada halangan daripada pihak polis sebenarnya dan saya telah mengarahkan supaya tidak ada sebarang tindakan dibuat sekiranya bendera putih ini dikibarkan di tempat-tempat sepatutnya. 

“Tindakan hanya akan diambil sekiranya pemasangan bendera akan menyebabkan halangan lalulintas dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 43, berkata, dia bersama penduduk di situ sepakat untuk menaikkan bendera putih selepas rata-rata mereka hampir terputus bekalan makanan.

Menurutnya, dua bendera putih dipasang di jalan masuk dan belakang kawasan rumah mereka dengan harapan ‘isyarat’ itu disedari pihak-pihak yang prihatin untuk datang hulur bantuan.

Ana berkata, dia dan penduduk keliru apabila tindakan mereka dikatakan satu kesalahan sedangkan kempen kibar bendera putih yang tular di laman sosial berlaku di seluruh negara malah ada yang berbuat demikian mendapat bantuan sewajarnya.

Video kejadian tersebut tular di laman sosial selepas dimuat naik pengguna Facebook hingga mendapat pelbagai reaksi wargamaya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Bukit Setongkol, Kamaluddin Ahad berkata, penduduk hanya diberi nasihat dan meminta bendera putih itu diturunkan kerana ia dipasang pada tempat yang tidak sesuai.

Menurut beliau, bendera tersebut dipasang kira-kira 50 hingga 60 meter dari rumah dan di tempat awam sekali gus akan memberi makna yang kurang tepat serta boleh menimbulkan persepsi negatif kepada umum.

“Kami minta mereka turunkan dan tidak berlaku ugutan seperti yang didakwa. Dia (penduduk) sendiri hadir bersama ahli jawatankuasa Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan pihak polis untuk memberi sumbangan.

“Saya dan pihak polis minta butiran mereka yang terlibat untuk disalur bantuan sewajarnya. Mungkin timbul salah faham penduduk dan ia diambil kesempatan pihak tertentu untuk sebarkan cerita tidak benar,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.