Kematian sebelum tiba ke hospital naik 7 kali ganda

25

2 JULAI: Angka korban akibat penularan COVID-19 di Malaysia kini semakin meningkat apabila 73 kes kematian dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat penularan wabak COVID-19 di Malaysia kini menjadi 5,327 orang.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga melaporkan bilangan pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) turut tinggi iaitu 905 kes dengan 443 memerlukan bantuan alat pernfasan.

“Selangor terus kekal sebagai negeri mencatatkan kes tertinggi kematian harian dengan 29 kes, diikuti Negeri Sembilan (13), masing-masing lima kes di Kuala Lumpur dan Sabah.

NOOR HISHAM

“Manakala, Johor, Pahang, dan Sarawak pula mencatatkan empat kes kematian hari ini, Labuan (3), masing-masing dua (2) kes di Kelantan dan Pulau Pinang, serta masing-masing satu (1) kes di Melaka dan Kedah,”

Dalam pada itu Dr Noor Hisham menjelaskan sehingga 2 Julai 2021, KKM telah merekodkan sebanyak 5,327 kes kematian (0.70 peratus) sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia termasuk 4,856 (91.2 peratus) kes kematian dilaporkan pada tahun 2021.

Beliau berkata daripada jumlah kematian pada tahun 2021, sebanyak 670 (13.8 peratus) kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) dilaporkan.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham melahirkan kebimbangan berikutan analisa CPRC Kebangsaan juga mendapati terdapat kenaikan tren kes-kes kematian BID iaitu sebanyak tujuh kali ganda dari bulan April (35 kes) sehingga Jun 2021 (246 kes).

Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kes kematian BID ini adalah dari kumpulan umur 50 tahun sehingga 70 tahun (iaitu sebanyak 76.7 peratus) dengan sekurang-kurangnya satu komorbid (64.5 peratus).

“Tiga negeri yang merekodkan kes kematian BID tertinggi pada tahun ini ialah Selangor iaitu sebanyak 181 kes (27.0 peratus), diikuti oleh Sabah sebanyak 85 kes (12.7 peratus), dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 78 kes (11.6 peratus),” katanya.

Berikutan itu Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai supaya sentiasa cakna dalam memantau kesihatan kendiri terutamanya apabila disahkan positif dan berada dalam pemantauan di rumah. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh setiap individu.

Beliau berkata orang ramai juga perlu menjalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif.

“Amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sementara menunggu keputusan ujian dan panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan COVID-19 Assessment Centre (CAC).

“Maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau CAC berdekatan sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen.

“Segera laporkan sebarang “warning signs” dan dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan jika gejala yang memberi petanda bahawa keadaan seseorang pesakit COVID-19 semakin teruk.

“Antara warning signs yang memerlukan rawatan segera adalah demam berpanjangan; kesukaran bernafas; sakit dada; kurang selera makan dan minum; kelesuan bertambah teruk; perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar dan kekeliruan; batuk, muntah, dan cirit yang semakin teruk; kurang buang air kecil; bibir atau jari menjadi kebiruan; dan Ketepuan oksigen kurang 95 peratus,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.