Isu Bunuh Diri Jadi Agenda Utama Jawatankuasa Pilihan Khas

41

2 JULAI: Trend peningkatan kes bunuh diri sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan masyarakat dan negara berikutan impak daripada wabak pandemik global yang masih menular dan memberi kesan ke atas kehidupan seharian rakyat di Malaysia.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, trend peningkatan ini telah disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam yang mana telah memberikan butiran terperinci peningkatan kes bunuh diri semenjak 2019 sehingga Mei 2021.

Justeru, beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial menegaskan beliau akan memastikan isu trend peningkatan kes bunuh diri ini sebagai agenda utama Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut. 

“Saya amat khuatir dengan statistik yang menunjukkan bahawa golongan wanita dan kanak-kanak (15 hingga 18 tahun) adalah golongan majoriti dalam kes bunuh diri berbanding golongan lelaki dan dewasa.

“Oleh yang sedemikian, sejajar dengan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas ini iaitu untuk menyiasat dan melaporkan apa-apa cadangan, usul, petisyen, laporan atau dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan hal ehwal wanita dan kanak-kanak serta pembangunan sosial.

“Saya akan memastikan isu trend peningkatan kes bunuh diri ini sebagai agenda utama Jawatankuasa Pilihan Khas ini apabila bermesyuarat kelak, “katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Dalam pada itu, Azalina memaklumkan Jawatankuasa Pilihan Khas itu mempunyai kuasa untuk memanggil di hadapannya mana-mana orang termasuklah orang yang mempunyai kepakaran dan kemahiran di bawah Peraturan Mesyuarat 83(2).

“Selain daripada itu, seperti yang termaktub di bawah Peraturan Mesyuarat 86, Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga akan menyiapkan dan membentangkan penyata Jawatankuasa yang mengandungi syor-syor berkaitan dengan isu ini.

“Saya yakin, dengan mengoptimumkan fungsi dan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas ini seperti di atas ianya akan membantu Kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian yang tuntas dan pantas agar isu bunuh diri ini dapat dibendung dari terus mengancam dan memberi kebimbangan dalam masyarakat, “katanya. 

Sementara itu, beliau turut merafak sembah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang telah menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan hendaklah meneruskan mesyuarat. 

“Ini sebagai mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya dalam menangani isu-isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.