Bicara Kes Jenayah Dibenarkan Kecuali Kawasan PKPD

45

2 JULAI : Kerajaan memutuskan operasi mahkamah bagi perbicaraan kes jenayah adalah dibenarkan sepanjang tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, manakala bagi kes sivil termasuk kes tribunal, dibenarkan beroperasi secara dalam talian termasuk di kawasan PKPD.

“Selain itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut memutuskan untuk membenarkan operasi pejabat Pesuruhjaya Sumpah sepanjang tempoh Fasa 1 PPN kecuali di kawasan PKPD.

“Ini mengambil kira pejabat Pesuruhjaya Sumpah memainkan peranan penting dalam memberi sokongan terutamanya kepada sektor hartanah dan perbankan serta operasi membabitkan kontrak dan urus niaga,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian PPN dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini. 

ISMAIL SABRI

Dalam pada itu, Ismail Sabri juga turut mengingatkan berkenaan PKPD di beberapa mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan dilaksanakan mulai esok.

“Saya berharap kita semua dapat mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi melandaikan lengkuk COVID-19 kerana ini adalah tanggungjawab bersama.

“Marilah kita bersama-sama tanpa mengira latar belakang agama, bangsa mahupun fahaman politik berganding bahu memutuskan rantaian COVID-19 di seluruh negara,” katanya. 

Sementara itu, mengenai pemantauan dan penguatkuasaan SOP COVID-19, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak lima kilang dan 10 premis perniagaan telah diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP. 

Beliau memaklumkan, ia berikutan pemeriksaan daripada pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam, di mana sebanyak 2,719 kilang dan 15,981 premis perniagaan serta 94 asrama telah diperiksa.

“Seperti yang diumumkan, kerajaan akan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.

“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 97,561 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,781 orang,” katanya. 

Tambah Ismail Sabri, jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semalam menunjukkan peningkatan semula kepada 636 berbanding 549 kelmarin.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera memaklumkan daripada keseluruhan tangkapan, seramai 597 individu dikompaun manakala 39 orang lagi telah direman. 

“Kesalahan tertinggi direkodkan semalam ialah mereka yang rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan dan minum di premis  sebanyak 182 kes dan tiada penjarakan fizikal sebanyak 116 kes. 

“Kesalahan lain yang turut direkodkan adalah individu gagal merekod butiran diri daftar masuk premis (94), tidak memakai pelitup muka (89), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (54), membawa penumpang berlebihan (25), premis gagal patuhi arahan (14), dan aktiviti pusat hiburan (6),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.