263,012 dos suntikan diberi kepada rakyat semalam

36

2 JULAI: Kadar suntikan harian vaksin COVID-19 kini kembali meningkat dengan 263,012 dos suntikan diberikan kepada orang ramai, semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, angka berkenaan adalah jumlah suntikan harian kedua tertinggi pernah dicatatkan selepas 268,604 dos pada 24 Jun lalu.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana kapasiti vaksinasi harian juga kembali melepasi 250,000 dos selama dua hari berturut-turut.

Katanya lagi, sehingga kini sebanyak lebih 8.34 juta dos vaksin diberikan penduduk Malaysia sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu.

“Sebanyak lebih 5.95 juta dos atau 18.2 peratus bagi suntikan pertama manakala 2.39 juta dos atau 7.3 peratus untuk suntikan kedua telah diberikan.

“Ini menghampiri nilai ambang 10 peratus untuk peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dikongsikan Dr Adham, menunjukkan penduduk Kuala Lumpur kekal mencatat kadar penerima dos pertama yang tertinggi dengan 1.05 juta individu atau 59.5 peratus daripada populasinya.

Ini diikuti oleh Sarawak (1.11 juta/39.6 peratus), Putrajaya (40,408/36.7 peratus), Labuan (34,881/35 peratus), Perlis (67,768/26.6 peratus), Pulau Pinang (305,465/17.2 peratus) dan Negeri Sembilan (190,382/16.9 peratus).

Penduduk Putrajaya pula mencatat kadar penerima dos kedua yang tertinggi membabitkan 27,950 individu atau 25.4 peratus daripada keseluruhan populasinya.

Ia disusuli Labuan (16,362/16.4 peratus), Perlis (41,609/16.3 peratus), Kuala Lumpur (209,165/11.8 peratus), Sarawak (252,496/9 peratus), Perak (214,267/8.5 peratus), Negeri Sembilan (98,230/8.7 peratus) dan Kedah (184,457/8.4 peratus).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.