11 Lokaliti 4 Negeri Dilaksana PKPD

45

2 JULAI: Sebanyak 11 lokaliti di Negeri Sabah, Sarawak, Pahang serta Selangor akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad ini berikutan terdapat peningkatan kes di kawasan tersebut.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, lima daripadanya terletak di Sabah iaitu Kampung Siasai Dundai dan Kampung Pantai Emas di Kota Belud; Kampung Naruntung, Pitas; Kampung Iban Kuala Nansang, Tawau dan Kampung Babagon di Penampang.

Di Kedah, beliau menegaskan tiga lokaliti akan dilaksana PKPD di Kuala Muda iaitu di Kawasan Kilang Jimat Jaya Sdn Bhd; Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur dan Asrama Pekerja di No 1, Jalan Seroja 3/2, Taman Seroja Sungai Lalang.

ISMAIL SABRI

“Manakala tiga lokaliti lagi yang akan dilaksana PKPD adalah di Rumah Panjang Malang Anak Bada, Sungai Bayan, Mukah di Sarawak serta Taman Nagasari dan Mukim Enam di Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Kesemua lokaliti akan dilaksana PKPD bermula 4 hingga 17 Julai. Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM menjalan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” katanya menerusi kenyataan media mengenai PPN  dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan bersetuju untuk menamatkan tujuh lokaliti di Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur berikutan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal di samping semua kes positif telah menerima rawatan. 

“PKPD yang akan ditamatkan di Sabah adalah Kawasan Semarak, Tawau; Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pasir Putih, Putatan dan Kampung Skim Pamalan, Keningaun manakala selebihnya adalah di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur serta Rumah Panjang Gabriel Bujang anak Ikau, Sungai Lepah, Tanjung Manis di Mukah, Sarawak. 

“Kesemua lokaliti PKPD ini ditamatkan esok kecuali PKPD di Perumahan Awam Desa Rejang yang telah ditamatkan bermula hari ini,” katanya. 

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Gusi, Kinarut di Papar Sabah.

Menurut beliau, ia dilakukan berikutan KKM mendapati penularan masih berlaku dalam komuniti serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.

Dalam tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 503 ujian saringan dan 119 daripadanya disahkan positif COVID-19.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Gusi bermula 4 Julai sehingga 17 Julai 2021,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.