Tiada Warga Asing Lari PKPD di Mentari Court-PDRM

42

1 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada pekerja warga asing di Mentari Court, Sunway Mentari, di Petaling Jaya, Selangor yang dikatakan melarikan diri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ini kerana pergerakan penduduk untuk keluar masuk ke kawasan itu hingga jam 12.01 tengah malam tadi masih dibenarkan.

Beliau menegaskan mana-mana individu dibenarkan keluar dan masuk di kawasan berkenaan sebelum pelaksanaan PKPD dikuatkuasakan.

“Sebelum perlaksanaan PKPD, mana-mana individu bebas bergerak dalam radius 10 kilometer untuk bekerja, membeli barang keperluan atau mempunyai urusan penting berkaitan kecemasan.

“Bagaimanapun, selepas perlaksanaan PKPD bermula 12.01 tengah malam tadi, tiada pergerakan keluar dari kawasan ini dibenarkan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan penguatkuasaan di Mentari Court, Petaling Jaya di Selangor, hari ini. 

Terdahulu, tular sebuah video mendakwa warga asing yang menetap di kawasan perumahan tersebut melarikan diri berikutan kerajaan akan melaksanakan PKPD di lokaliti itu. 

Menerusi video yang berdurasi 33 saat itu memaparkan beberapa individu yang dipercayai warga asing dilihat membawa barang keperluan untuk meninggalkan kawasan itu kerana dikuatiri mereka khususnya yang tiada dokumen yang sah akan ditangkap oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin menegaskan kemungkinan terdapat timbul salah faham apabila ada pekerja warga asing yang didakwa melarikan diri seperti dakwaan tular di media sosial.

“Namun tiada kes sedemikian kerana mereka bebas keluar dan masuk sebelum perlaksanaan PKPD. 

“Untuk peringkat awal pihak KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melakukan proses rekod butiran diri terhadap semua 17,000 penghuni. 

“Ini mengelak sebarang pergerakan keluar dan masuk tanpa kebenaran semasa PKPD dilaksanakan,” katanya.

Penguatkuasaan PKPD dilaksana bagi mengelak pergerakan keluar dan masuk tanpa kebenaran yang akan dilakukan secara menyeluruh bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.