Suntikan dos kedua AstraZeneca dipendekkan ke 9 minggu

29

1 JULAI: Selang masa bagi dos pertama dan kedua bagi kira-kira sejuta penerima vaksin AstraZeneca di Malaysia akan dipendekkan daripada 12 minggu ke sembilan minggu dengan ketibaan satu juta dos vaksin itu yang disumbangkan Kerajaan Jepun, hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu selari dengan keputusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) pada minggu lalu.

Berikutan itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata penerima vaksin berkenaan pada Mei lalu akan mula mendapat notifikasi untuk dos kedua dalam masa terdekat.

“Sebanyak sejuta juta dos vaksin AstraZeneca meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada jam 10.20 pagi tadi menggunakan penerbangan Japan Airlines 723 dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

KHAIRY

“Ini adalah bukti hubungan baik sejak sekian lama antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara. Ketibaan vaksin ini akan menyumbang kepada kadar pemberian vaksin lebih tinggi sepanjang bulan ini.

“Berdasarkan kepada cadangan jawatankuasa teknikal di bawah JKJAV dan ketibaan sumbangan vaksin dari Jepun ini, kita akan mengurangkan sela masa antara dos dari 12 minggu ke sembilan minggu,” katanya selepas menerima bekalan vaksin berkenaan, di KLIA petang ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi.

Pada 19 Jun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dilaporkan berkata pihaknya sedang mengkaji sama ada tempoh masa pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca, boleh dipendekkan daripada 12 minggu kepada enam minggu.

Pakar virologi, Prof Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit turut dilapor menyarankan kerajaan memendekkan sela masa antara dua dos vaksin COVID-19 AstraZeneca kepada lapan minggu, bagi memberi perlindungan lebih awal kepada penerima vaksin itu susulan penyebaran varian Delta semakin meluas di negara ini.

Beliau berpandangan, meskipun tempoh 12 minggu membolehkan tahap imunisasi lebih tinggi pada penerima vaksin AstraZeneca, keutamaan ketika ini adalah melindungi golongan berisiko daripada varian Delta yang lebih berbahaya jika dijangkiti.

“Semua vaksin ini akan dibawa ke pusat penyimpanan sebelum diedarkan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata kerajaan memberi jaminan bahawa proses vaksinasi untuk golongan warga emas akan dapat diselesaikan pada bulan Julai ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.