Shahiden hanya setia pada UMNO

170

1 JULAI: Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim, menafikan dakwaan bahawa beliau lebih mengutamakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbanding partinya sendiri iaitu UMNO.

Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) menegaskan beliau adalah seorang yang berpegang teguh kepada setiap keputusan parti terutama Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU).

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis itu berkata PAU 2020 yang diadakan pada Mac lalu sudah buat ketetapan bahawa parti itu akan terus menyokong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya bertanding dan menang atas tiket parti (Barisan Nasional/UMNO) bila mereka buat keputusan saya akan berpegang teguh kepadanya. Jika ada orang nak buat tafsiran sendiri terpulanglah.

“Saya masih berpegang teguh kepada keputusan PAU iaitu semua ahli Parlimen UMNO akan terus kekal menyokong kerajaan PN sehingga PRU-15, selain ‘No Anwar dan No DAP. Jadi saya masih berpegang teguh kepada keputusan terbabit dan kami ahli Parlimen UMNO masih berpegang pada ketetapan itu.

“Jika ada perubahan dan PAU sudah membuat keputusan maka saya sedia mengikut ketetapan terbaharu berkenaan,” katanya dalam sidang media secara langsung menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

Shahidan berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya beliau mengutamakan kerajaan PN berbanding UMNO selepas dilantik sebagai Pengerusi PNBBC oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Shahidan berkata biarpun ada keputusan lain dibuat oleh Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini namun ia tidak boleh melangkaui ketetapan dibuat semasa PAU.

Shahidan menegaskan banyak khabar angin tersebar termasuk kononnya ada Ahli MKT akan tarik sokongan diberikan kepada kerajaan PN dan sebagainya

“Saya memang ada dengar kata ada ahli MKT nak tarik sokongan kepada kerajaan PN namun sehingga kini belum ada sebarang keputusan rasmi diumumkan.

“Saya juga ada dengar cerita bahawa Presiden UMNO akan mengadakan perjumpaan semua ahli Parlimen BN, jadi saya mahu dengan pandangan mereka sendiri biarpun setakat ini kita hanya dengar daripada dakwaan di media sosial, cakap-cakap dari mulut ke mulut yang saya tidak akan percaya.

“Saya hanya akan percaya jika MKT membuat keputusan tanpa melanggar ketetapan yang sudah diputuskan oleh PAU 2020,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan sekali lagi mendesak supaya MKT mengambil tindakan terhadap pemimpin UMNO yang membelakangi keputusan PAU contohnya dengan tidak menyokong kerajaan PN sekarang dan ketetapan ‘No Anwar No DAP’.

“Ini kerana ada pemimpin UMNO tertentu yang menyokong Anwar tetapi sehingga sekarang Lembaga Disiplin UMNO tidak mengambil sebarang tindakan dan Ahli MKT pun tidak menyatakan apa-apa kepada orang telah melanggar keputusan PAU.

“Sebaliknya individu ‘kecil’ seperti saya dituduh macam-macam termasuk melanggar disiplin, menyokong BERSATU biarpun saya hanya mengikut keputusan dibuat parti melalui PAU bukan mengikut arahan orang tertentu,” katanya.

Terdahulu, Shahidan menasihatkan penduduk di Parlimen Arau supaya tidak perlu menaikkan bendera putih jika ditimpa sebarang musibah sebaliknya menghubungi Pusat Khidmat Ahli Parlimen bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.

“Penduduk Parlimen Arau tidak perlu kibar bendera putih kerana kita akan berikan apa sahaja sumbangan berdasarkan keperluan penduduk setempat dengan keutamaan kepada makanan serta barangan keperluan lain termasuk lampin pakai buang dan kewangan jika perlu bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.