Pemuda PN puji tindakan pantas PM salur RM300,000

66

1 JULAI: Pemuda Perikatan Nasional memuji tindakan pantas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyalurkan peruntukan tambahan RM300,000 kepada ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang bermula hari ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan itu menunjukkan Perdana Menteri mengambil peduli kepada kemaslahatan rakyat yang dalam kesusahan dan terkesan sepanjang pandemik COVID-19 ini.

“Pemuda Perikatan Nasional ingin memuji sikap profesional dan keprihatinan Perdana Menteri apabila dengan tuntas dan pantas, bermula hari ini, menyalur peruntukan tambahan berjumlah RM66.6 juta untuk RM300,000 nilai Bakul Makanan kepada setiap ahli Parlimen tidak kira latar kecenderungan politik sama ada daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang menerusi PEMULIH.

“Untuk makluman, Kerajaan telah menyediakan program dan mekanisme bantuan yang amat banyak, termasuk Program Bakul Makanan bernilai RM50 juta menerusi Pakej PERMAI seawal Januari lalu.

KHAIRIL NIZAM

“Ini menjadikan jumlah terkumpul bagi program Bakul Makanan sahaja bernilai RM116.6 Juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan inisiatif tambahan ini, katanya, diharapkan wakil rakyat dapat mengurus dana tersebut dengan telus dan menyampaikan bakul makanan ini tanpa melalui agensi kerajaan.

Beliau menambah rakyat juga dapat mohon segera pada wakil rakyat, selain dari agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.

Dalam pada itu, katanya, Pemuda Perikatan Nasional mengecam tindakan pihak-pihak tertentu terutama parti pembangkang yang cuba mencemar objektif gerakan Bendera Putih dengan menanam elemen perpecahan dan kebencian pada kerajaan.

“Walhal, ia hanya adalah gerakan sukarela bagi mempermudah identifikasi dan penyampaian bantuan segera bagi individu dalam komuniti setempat yang ingin menolong antara satu sama lain.

“Pemuda Perikatan Nasional di semua parlimen akan terus mengerakkan sukarelawan untuk membantu menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, sama ada bendera putih diangkat atau tidak,” katanya.

Khairil Nizam menyeru seluruh rakyat bersatu padu, berdoa, menguatkan semangat dan yakin bahawa kita semua dapat kembali menjalani kehidupan dan norma biasa kelak melalui Pelan Pemulihan Negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.