Pemohon i-Citra keluar dana Akaun 2 dahulu

33

1 JULAI: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan inisiatif i-Citra diwujudkan khusus bagi membolehkan ahli-ahli membuat pengeluaran dana simpanan Akaun 2 terlebih dahulu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebarang akses bagi pengeluaran Akaun 1 sebaliknya akan hanya dilakukan sekiranya jumlah simpanan Akaun 2 pemohon terbukti tidak mencukupi.

Beliau berkata, semua ahli berusia di bawah 55 tahun adalah layak memohon i-Citra dengan jumlah pengeluaran sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki dalam Akaun 1 dan 2.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan itu akan dibayar bagi tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 serta tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50.

amir hamzah azizan
AMIR HAMZAH

“Jika jumlah (simpanan) Akaun 2 tidak mencukupi, barulah kita akan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan Akaun 1.

“Kami cuba mencari keseimbangan iaitu antara membantu ahli yang memerlukan dan pada masa sama memastikan agar mereka juga mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘MIDF Conversations’ (Bicara MIDF) secara maya dengan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) Datuk Charon Mokhzani, hari ini.

Kemudahan pengeluaran i-Citra itu merupakan kesinambungan inisiatif KWSP sebelum ini iaitu i-Sinar dan i-Lestari.

Akaun 2 disediakan bagi tujuan bayaran pinjaman rumah, perbelanjaan perubatan serta pendidikan.

Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata, pengeluaran keseluruhan inisiatif i-Sinar dan i-Lestari itu itu berjumlah RM80 bilion.

“Kami (KWSP) ada dan telah diberi mandat untuk membantu ahli selepas bersara…namun pada masa sama, kami turut sedar bahawa pandemik COVID-19 ini satu keadaan luar biasa (di luar jangkaan).

“Oleh itu, kami memahaminya dan akan berusaha mencari jalan untuk membolehkan ahli-ahli, berdasarkan alasan, mendapat akses terhadap dana simpanan masing-masing,” katanya.

Amir Hamzah berkata, perkara utama adalah untuk memastikan bahawa KWSP tidak hilang mandat untuk membantu mereka yang mempunyai dana persaraan.

Dalam kenyataan pada Isnin, dana persaraan itu menyatakan bahawa ahli boleh mula memohon bagi kemudahan itu menerusi portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my dan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun pada Ogos 2021.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.