Pembangkang Kena Bijak Berpolitik – Ketua Pemuda PN

43

1 JULAI: Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Senator Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan betapa pentingnya sayap Pemuda mewakili kerajaan bagi menjadi pemudah cara kepada anak muda menyampaikan hasrat mereka kepada pemerintah. 

Beliau berkata, sebagai sebahagian kerajaan, maka wujud pertimbangan perkara-perkara yang perlu dihadapi secara ‘defensif’ dan ‘ofensif’.

“Bahagian yang kita defensif ialah ada polisi kerajaan yang telah dibuat baik, dilancarkan, dilaksanakan dengan baik, tetapi pembangkang masih lagi menyerang sebagai satu contoh. Jadi kita kena bersifat defensif, kena beritahu, kena ceritakan. Tabligh, menyampaikan. Itu defensif.

“Dan kita juga kadangkala perlu bertindak ofensif namun bukan kita jadi pembangkang, bukan kita anjurkan demonstrasi, bukan kita pergi hantar buat gesaan secara radikal. Kita ini adalah parti kerajaan, maka kita cadangkan kita lontarkan. 

“Kemudiannya kita buat tindakan susulan berjumpa dengan pihak Menteri. Itu cara dia. Apakah itu dikatakan sebagai minda pembangkang. Datang jumpa Menteri, kita bincang, Menteri pula angkat perkara ini kalau melibatkan keselamatan negara, bincang dalam MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Kalau melibatkan Kementerian tersebut, maka dia akan bincang dalam kementerian tersebut. Itulah cara kita sebagai parti yang memimpin negara. Jadi, semestinya dalam kita mempertimbangkan perkara ini, dia ada juga bahagian yang kita defensif, ada juga kita ofensif,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Justeru, beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS berkata beliau tidak kisah jika pembangkang menghentam kerajaan namun kritikan itu mestilah membina yang boleh memberi penambahbaikan kepada negara. 

Namun, beliau memberitahu kritikan yang berbentuk fitnah dan tidak membina, wajarlah ditolak dan diketepikan oleh setiap ahli politik di negara ini. 

“Ahli politik sebegitu akan ada setiap masa, dan mereka hidup kerana disokong oleh orang-orang yang suka kepada mereka. Jadi ada risiko sokong mereka dapat pemimpin sebegitu. 

“Tapi kalau kita nak negara yang lebih maju, maka pilihlah pemimpin-pemimpin yang pada saya bijaksana dalam menguruskan isu-isu yang berlaku di sekelilingnya,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.