Pahang benar solat di masjid,surau dengan kapasiti terhad

23

JULAI: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membenarkan aktiviti solat Jumaat dan fardu dibenarkan di semua masjid dan surau di seluruh negeri berkenaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD

)Kebenaran itu berdasarkan pelaksanaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Pengarah JAIP, Datuk Dr Zulkifle Ali, berkata perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, berdasarkan SOP baharu itu, seramai 100 jemaah dibenar menunaikan solat Jumaat di masjid negeri dan masjid daerah.

“Masjid kariah pula hanya 50 orang manakala surau kebenaran Jumaat pula 12 orang sahaja.

“Bagi solat fardu, hanya 12 orang dibenarkan di masjid negeri, masjid daerah, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau.

“Bagaimanapun, pengurusan masjid dan surau boleh mengemukakan permohonan penambahan jumlah jemaah untuk solat Jumaat dan fardu.

“Bagi kawasan PKPD, solat Jumaat dibenarkan dengan 12 orang dan digalakkan menunaikan solat Zohor sebagai langkah berhati-hati (ihtiati) keluar dari khilaf,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi menyekat penularan wabak COVID-19 di masjid dan surau, Zulkifle berkata, bukan warganegara Malaysia, bukan ahli kariah, individu bergejala, imam dan khatib dari luar Pahang tidak dibenarkan.

“Selain itu, jemaah bawah umur 12 tahun dan warga emas berusia 75 tahun ke atas turut tidak dibenarkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengurusan masjid dan surau diminta memastikan jemaah yang hadir mematuhi semua SOP ditetapkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.