Lima negeri catat Rt melebihi paras kebangsaan

74

1 JULAI: Lima negeri iaitu Putrajaya, Melaka, Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan kini mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) lebih tinggi berbanding nilai RT kebangsaan semalam iaitu 1.05.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan kes harian COVID-19 di negara ini sejak sembilan hari lalu menyaksikan kadar Rt pandemik itu kembali meningkat melebihi paras ambang 1.0, sejak dua hari lalu.

Dr Noor Hisham, berkata Rt mengikut kes harian untuk seluruh negara semalam adalah 1.05 iaitu meningkat daripada 1.04 kelmarin.

Data dikongsi Dr Noor Hisham di Facebook hari ini, juga menunjukkan enam negeri mencatat Rt melebihi purata kebangsaan antara 1.07 hingga 1.19.

“Rt tertinggi 1.19 dicatatkan oleh Pahang, disusuli Putrajaya (1.09), Melaka (1.09), Perak (1.08), Kuala Lumpur (1.07) dan Negeri Sembilan (1.06).

“Selangor pula mencatat 1.05, sama dengan purata kebangsaan, manakala Rt terendah direkodkan oleh Terengganu dengan 0.67,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Nilai yang dicatatkan itu adalah Rt tertinggi dalam tempoh 28 hari selepas mencatatkan 1.06 pada 3 Jun lalu, sebelum menurun ke paras terendah bulan lalu, 0.90 pada 12 Jun, namun kembali meningkat sejak itu.

Trend peningkatan penularan pandemik itu di Malaysia juga menyaksikan jumlah kes harian ketika ini, ‘lari’ daripada unjuran kes yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

Model SEIR Pemerhatian dan Unjuran Kes COVID-19 KKM mengunjurkan kes harian wabak itu mencecah sekitar 5,000 pada hujung Jun, namun kes harian kembali meningkat melebihi 6,000 untuk dua hari berturut-turut sejak Selasa lalu.

Kes harian tertinggi direkodkan bulan lalu adalah 8,209 pada 3 Jun, namun angka itu menurun ke paras terendah untuk Jun iaitu 4,611 pada 21 Jun kesan pelaksanaan sekatan pergerakan bermula 1 Jun lalu.

Namun, kes kembali meningkat selepas itu kepada 6,437 pada 29 Jun, dan 6,276 pada 30 Jun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.