Libatkan JPKK, JPKKP Bantu Agih Bakul Makanan

47

30 JUN: Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) mengesyorkan agar pelaksanaan pengagihan bantuan bakul makanan ditambah baik.

Cadangan tersebut ialah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dilibatkan bersama dalam pengagihan bantuan bakul makanan itu. 

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kerjasama itu perlu kerana dapat menggerakkan usaha menyampaikan bantuan tersebut dengan lebih efisien memandangkan mereka merupakan unit pelaksana dasar kerajaan di peringkat akar umbi yang paling hampir dengan rakyat.

SHAHIDAN

“Usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini merupakan suatu tindakan yang mulia demi memastikan kebajikan rakyat yang terkesan disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dibela dengan mengenepikan perbezaan fahaman politik.

“Harus diketahui, usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini merupakan suatu usaha berterusan yang telah dilakukan sebelum ini menerusi bantuan yang telah diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk disalurkan kepada rakyat melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. 

“Misalnya, seperti yang telah dilaksanakan di negeri Perlis. Pada ketika ini, ianya akan dilaksanakan pula menerusi ahli-ahli parlimen,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu menerusi pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) memaklumkan sejumlah RM300,000 diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas. 

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat melalui bakul makanan ini, katanya, kerajaan mengambil sikap mengenepikan perbezaan politik.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, pihaknya merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin di atas keprihatinan mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada semua ahli parlimen. 

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Arau menjelaskan bantuan itu juga akan diterima oleh semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat terjejas akibat COVID-19.

“Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri dan pimpinan Kerajaan Perikatan Nasional di atas keprihatinan. Moga bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Tingkatkan vaksinasi dan teruskan usaha membela nasib rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.