Kenyataan Peguam Negara bukan satu penderhakaan – Tun Abdul Hamid

147

30 JUN: Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad menegaskan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun baru-baru ini bukanlah satu penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah. 

Menurutnya, keadaan semasa telah memerlukan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan media di mana pandangan beliau berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan penghakiman-penghakiman mahkamah di mana Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak di atas nasihat Perdana Menteri.

“Perlu ditegaskan bahawa kenyataan itu adalah pendapat undang-undang berdasarkan undang-undang, termasuk Perlembagaan. Ia terpakai pada semua masa tidak kira siapa yang menduduki jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, bukan khusus mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pada masa ini sahaja.

“Kenyataan itu tidak lebih daripada nota kuliah undang-undang Perlembagaan yang disediakan oleh seorang pensyarah atau profesor atau jawapan seorang pelajar pintar kepada soalan mengenai isu tersebut, di mana-mana universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau itu dibuat berikutan banyak pengkritik yang menuduh Peguam Negara melampau, menghina dan memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong.

Ekoran itu, pihak berkenaan menyifatkan ia adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Idrus mesti dipecat segera.

Abdul Hamid menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk memberi pandangan yang jujur dalam suatu perkara mengikut undang-undang, tidak kira sama ada ia menambah atau mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, disukai atau dimurkai baginda.

“Seseorang yang tidak berani berbuat demikian, tidak layak menjadi Peguam Negara,” tegasnya yang turut menyatakan bahawa padangan Peguam Negara itu adalah selaras dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong sepertimana dalam kenyataan media Istana Negara baru-baru ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.