Jepun, AS sumbang 2 juta vaksin kepada Malaysia

53

30 JUN: Malaysia bakal terima dua juta dos vaksin Pfizer dan AstraZeneca sumbangan kerajaan Jepun dan Amerika Syarikat (AS) pada esok dan lusa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak satu juta dos vaksin AstraZeneca daripada kerajaan Jepun akan tiba esok, dan satu juta dos vaksin keluaran Pfizer sumbangan kerajaan AS akan tiba pada Jumaat.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata kerajaan Malaysia amat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan vaksin dari kedua-dua negara, yang melambangkan keprihatinan kerajaan Jepun dan AS terhadap negara ini.

KHAIRY

“Sumbangan berkenaan juga menunjukkan kepercayaan mereka kepada negara kita dalam usaha memerangi wabak COVID-19, dan menyokong program imunisasi global bagi membendung penularan wabak ini.

“Bekalan vaksin ini dapat memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan membantu Malaysia mencapai nilai ambang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Semua vaksin diperoleh ini akan diedar segera ke fasiliti dan pusat simpanan vaksin di seluruh negara untuk kegunaan PICK dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media mingguan CITF secara maya, hari ini,

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata pelajar yang perlu mendapatkan vaksin COVID-19 lebih awal untuk menyambung atau meneruskan pengajian ke luar negara, boleh berbuat demikian menerusi aplikasi MySejahtera.

Mengulas lanjut, Khairy berkata berdasarkan kemas kini terbaharu MySejahtera, kumpulan pelajar berkenaan boleh membuat permohonan untuk mempercepat suntikan vaksin melalui ciri ‘Helpdesk’ dalam aplikasi berkenaan.

Katanya, ciri baharu yang boleh diakses bermula 28 Jun lalu itu bertujuan memudahkan pelajar perlu memenuhi syarat vaksinasi untuk masuk ke negara tertentu bagi tujuan menyambung pengajian.

“Ciri baharu di ‘Helpdesk’ dalam aplikasi MySejahtera diperkenalkan untuk memudahkan permohonan vaksinasi awal bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara.

“Permohonan vaksinasi awal yang dihantar, akan diproses oleh sistem dalam tempoh 10 hari dan status permohonan boleh disemak dalam selepas tempoh berkenaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.