China bebas malaria selepas 70 tahun

23

30 JUN: China akhirnya mengecapi status bebas malaria selepas 70 tahun berusaha membasmi penyakit bawaan nyamuk itu.

Kejayaan bersejarah itu disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini yang menyifatkannya sebagai bukan mudah diraih dan hanya dicapai selepas usaha bersungguh-sungguh melakukan tindakan bersasar serta berterusan selama berdekad-dekad.

Sebelum ini, China merekodkan 30 juta kes penyakit itu saban tahun sejak 1940-an, namun kebelakangan ini berjaya mencatat sifar penularan tempatan selama empat tahun berturut-turut.

“Kami mengucapkan tahniah kepada rakyat China yang menyertai semakin banyak negara yang membuktikan kepada dunia bahawa masa depan bebas malaria adalah matlamat yang boleh direalisasikan,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Negara yang merekodkan sifar kes tempatan selama tiga tahun berturut-turut, boleh memohon pensijilan WHO untuk diberikan status bebas malaria.

Bagi tujuan itu, negara terbabit perlu mengemukakan bukti kukuh, selain menunjukkan kapasiti untuk mencegah kemunculan semula jangkitan penyakit berkenaan.

China adalah wilayah ke-40 disahkan bebas malaria oleh WHO yang berpangkalan di Geneva.

Sebelum ini, negara terakhir yang memperoleh status itu ialah El Salvador (2021), Algeria dan Argentina (2019) serta Paraguay dan Uzbekistan (2018).

Terdapat senarai berbeza membabitkan 61 negara yang tidak pernah ada kes malaria, atau penyakit itu hilang tanpa sebarang pendekatan khusus diambil.

China ialah negara pertama dalam rantau Pasifik Barat WHO, dianugerahkan pensijilan bebas malaria dalam tempoh lebih tiga dekad.

Negara dalam rantau sama yang turut memperoleh status itu ialah Australia pada 1981, Singapura (1982) dan Brunei (1987).

Menurut Laporan Malaria Dunia WHO 2020, kemajuan melawan penyakit itu kini dilihat mendatar pada peringkat global, terutama di negara benua Afrika yang bergelut dengan kes jangkitan dan kematian.

Berdasarkan laporan tahunan diterbitkan, November lalu, angka kematian akibat malaria menurun daripada 736,000 kes pada 2000, kepada kira-kira 411,000 (2018) dan 409,000 (2019).

Pada 2019, jangkitan malaria di seluruh dunia dianggarkan berjumlah 229 juta, kadar angka yang sama sejak empat tahun kebelakangan ini.

Lebih 90 peratus korban malaria dilaporkan berlaku di Afrika dengan lebih 265,000 kes membabitkan kanak-kanak.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.