400 petugas Parlimen terima dos pertama vaksin hari ini

42

30 JUN: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin, mengesahkan bahawa lebih 400 petugas Parlimen mula menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 masing-masing mulai jam 9 pagi tadi.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata langkah itu sebagai persediaan kepada pembukaan sidang Parlimen yang dijadualkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, mereka terlibat menerima suntikan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di  sekitar Kuala Lumpur.

“Mereka yang terlibat termasuklah kakitangan Parlimen yang  terlibat dengan pembersihan, katering dan sebagainya.

“Ini sebagai persediaan kepada pembukaan sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan ditentukan tidak lama lagi.

“Kita mahu memastikan setiap petugas Parlimen mendapat perlindungan sewajarnya bagi mengelakkan jangkitan berlaku,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya hari ini.

Khairy berkata, Ahli Parlimen juga sudah dimaklumkan mengenai pegawai mereka juga layak untuk menerima vaksin bagi memastikan individu yang hadir nanti divaksin sepenuhnya.

“Kakitangan  dan pegawai Ahli Parlimen  dan Ahli  Dewan Negera yang akan  ke Parlimen sebagai pengiring  ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara juga layak terima vaksin,kita mahu apabila Parlimen di buka nanti semua dapat pelindungan,”katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, dan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim sudah mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos depan.

Azhar dan Rais dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, perkara itu adalah selari dengan titah dan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika sesi sembah maklum di Istana negara semalam.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Tuanku berpandangan, persidangan itu perlu dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan Kerajaan dan Parlimen Malaysia.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.