UMNO sengaja undang persepsi negatif rakyat jika keluar PN

100

29 JUN: UMNO hanya akan dilihat rakyat sebagai sebuah parti yang tamak kuasa dan tidak boleh bergantung harap sekiranya bertindak keluar dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, tindakan sedemikian juga boleh mengundang kecaman dan dipandang negatif rakyat sebagai parti mementingkan kepentingan pemimpin tertentu yang sepatutnya membantu menyelamatkan negara ketika situasi pandemik wabak COVID-19.

Beliau berkata, ini bukanlah masa buat mana-mana parti politik mengocak keadaan politik negara lebih-lebih lagi jika pemimpin politik tersebut mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.

“Jangan salahkan rakyat kalau mereka terus melihat pemimpin politik kita sebagai orang tidak boleh bergantung harap. UMNO sepatutnya membantu menyelamatkan negara tetapi mereka dilihat cuba meruntuhkan negara.

“Jadi jangan burukkan lagi keadaan, ini masa untuk mereka memperagakan personaliti dan watak yang unggul, harus menjauhi kepentingan peribadi dan politik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Semalam, Ahli Parlimen PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menerusi kenyataan memaklumkan Pembentukan jajaran baharu UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) sama ada boleh berlaku dalam tempoh terdekat atau sebaliknya, bergantung kepada keputusan Datuk Seri  Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Presiden UMNO itu boleh memainkan peranan untuk melunaskan segera kerangka dan masterplan yang dirancang bagi membantu menyelamatkan negara.

Menurut beliau, Ahmad Zahid boleh membuat keputusan menggunakan Majlis Tertinggi (MT) untuk meminta ahli-ahli Parlimen UMNO keluar dari kerajaan sekiranya tuntutan beliau kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sidang Parlimen dipanggil dalam tempoh 14 hari tidak dipenuhi.

Dalam pada itu, Jeniri memberitahu apabila berlaku jajaran baharu, ia bermaksud akan berlaku krisis politik menyebabkan ketidakstabilan negara yang kemudiannya menyebabkan negara hilang arah dan tumpuan ketika semua pihak sepatutnya memberi segenap tumpuan 100 peratus untuk menangani dua krisis utama negara, kesihatan dan ekonomi.

Justeru, beliau menegaskan ia tidak boleh ditambah satu lagi krisis iaitu politik yang bukan saja memudaratkan parti politik yang ada tetapi memburukkan ekonomi dan reputasi negara di mata luar sekali gus memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat antarabangsa menanggapi Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak lagi selamat untuk melabur.

“Permainan poltik ketika ini ialah digerakkan oleh mereka yang mempunyai kepentingan peribadi untuk menyelamatkan dirinya bukan sangat untuk menyelamatkan kepentingan negara.

“Jadi sepatutnya kita selamatkan kepentingan negara, ketepikan kepentingan peribadi dan puak bagi meletakkan kita berada atas landasan betul dan mempercepatkan langkah vaksinasi. 

“Kita kena pastikan angka COVID-19 diturunkan dan dapat beri fokus inisiatif baharu kerajaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) membabitkan wang begitu banyak,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.