Polis selesai ambil keterangan Tok Pa kes langgar SOP PKP

36

29 JUN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan tiga individu lain, sudah memberi keterangan kepada polis berhubung penularan gambar mereka sedang makan di sebuah kafe di Jeli, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin, berkata Ahli Parlimen Jeli itu dan dua pegawainya memberi keterangan semalam, manakala keterangan pemilik kafe berusia 26 tahun diambil kelmarin.

“Siasatan kita sudah selesai selepas mengambil keterangan Datuk Seri Mustapa dan tiga individu itu

“Kes sudah dirujuk kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan susulan sama ada akan dikompaun atau dituduh di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sebelum ini media melaporkan, Mustapa memohon maaf atas pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika mengunjungi sebuah kafe di Jeli.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Mustapa turut menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di Alfath Cafe, Kampung Kalai.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.